PETALING JAYA – Pelakon Datin Eina Azman memohon orang ramai untuk mendoakan kesihatan suaminya, Datuk Kaiser Gurmeet Abdullah yang dijangkiti positif Covid-19 semalam.
Eina atau nama sebenarnya Ainur Syakina Azman berkata, tahap kesihatan suaminya semakin merosot sebentar tadi.
“Assalamualaikum. Mohon doakan kesihatan dan kesejahteraan suami saya kembali seperti sihat sedia kala.
“Doakan suami saya yang kini berada di hospital agar kuat untuk melawan virus Covid-19 sebab oksigen suami saya menurun hingga perlu pakai alat bantuan pernafasan. Terima kasih suami,” tulisnya.
Terdahulu, Eina, 26, dalam hantaran berbeza sebelum ini berkongsi suasana sedih yang menyelubunginya sempena ulang tahun perkahwinan ketujuh apabila dia dan suami serta dua pembantu rumah mereka disahkan positif Covid-19.
Katanya, sebelum ini, mereka menjalani rawatan dan pemeriksaan berkala setiap dua hari sekali di hospital akibat mengalami simpton demam dan batuk manakala suaminya pula berhadapan situasi agak teruk dengan suhu badan tinggi selain tahap oksigen tidak menentu.
Terdahulu, Eina selesai menjalani pembedahan pada bahagian lehernya di Hospital Gleaneagles, Kuala Lumpur pada 17 Ogos lalu.
Sebelum itu, dia mendedahkan pernah menjalani prosedur biopsy pada bahagian leher sebanyak empat kali sejak 2016 iaitu pengambilan sampel tisu atau sel untuk didiagnosis sesuatu penyakit.
Menerusi perkahwinannya dengan Kaiser yang juga ahli perniagaan, rumah tangga mereka dikurniakan sepasang kembar berusia lima tahun, Ariana Aubrey dan Karl Kareef. – K! ONLINE
Leave a Reply