Viral

Suami isteri naik motor dari Perak ke KL, redah hujan lebat demi rawatan anak

Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Begitulah nasib yang menimpa pasangan suami isteri ini yang terpaksa berulang alik dari Perak ke Kuala Lumpur dengan menaiki motosikal untuk membawa anak mereka menjalani rawatan di Hospital Kuala Lumpur.

Menurut Nur Natasya Rasid, 24, dia dan suaminya terpaksa bertolak seawal 3.30 pagi sebelum tiba di ibu negara pada pukul 9.00 pagi.

Tambahnya, anak perempuannya, Nur Mardhiah Shahadah Abdul Hadi, 3, menghidap barah mata tahap empat yang berpunca daripada kromosom 13q iaitu sejenis penyakit kelainan genetik.

Difahamkan, Nur Mardhiah terpaksa dibawa ke HKL setiap dua minggu bagi menjalani pemeriksaan kerana turut menderita masalah usus, hati bengkak, paru-paru kronik dan kaki bengkok yang menyebabkan pergerakannya terbatas hingga terpaksa menggunakan alat sokongan.

Menerusi perkongsian di Facebook, Nur Natasya Natasya meluahkan rasa terima kasih kepada insan-insan yang sangat bermurah hati menghulurkan bantuan buat mereka sekeluarga.

Katanya, ada yang sanggup menghantar mereka menaiki kereta sampai ke HKL dan tidak kurang juga ada yang memberi bantuan dalam bentuk wang ringgit.

Tambah wanita cekal itu lagi, dia bersyukur dalam ujian yang ditempuhi, Allah telah mempertemukan mereka dengan insan yang baik-baik.

“Ada sekali tu terpaksa lalu hujan lebat sebelum sampai tempat berteduh tapi Allah ganti dengan orang yang berhati mulia. Tak kenal tapi sudi tolong kami,” katanya.

Loading...

Leave a Reply