SEBERANG PERAI – Sepasang suami isteri warga emas terbunuh selepas motosikal dinaiki mereka terbabit kemalangan di Jalan Pengkalan Machang, Butterworth di sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 8 pagi itu, mangsa yang kedua-duanya berusia 66 tahun meninggal dunia di tempat kejadian dipercayai akibat kecederaan parah.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Mohd. Radzi Ahmad berkata, siasatan pihaknya mendapati kemalangan membabitkan motosikal jenis Modenas berwarna merah menuju ke arah Sungai Dua, Butterworth dipercayai hilang Kawalan.
Menurutnya, ketika kejadian mangsa dikatakan dari rumah mereka di Taman Desa Murni untuk menghantar isteri bekerja di bahagian pulau.
“Ketika tiba di lokasi kejadian, motosikal dipercayai telah hilang kawalan lalu terbabas dan melanggar batu penghadang di atas longkang sebelah kiri dan motosikal masuk ke dalam longkang.
“Penunggang dan pembonceng talah tercampak ke tepi kiri longkang dan kedua-duanya yang didapati mengalami kecederaan parah pada kepala dan badan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, mayat mangsa dibawa ke Hospital Kepala Batas di sini untuk dibedah siasat. – K! ONLINE
Leave a Reply