Blog Berita Online

Berita Utama

Suami maut motosikal terbabas masuk parit

KUALA SELANGOR: Perjalanan seorang juruteknik Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd. (Air Selangor) menuju ke tempat kerjanya bertukar tragedi apabila maut terbabas ke dalam sebuah parit di Kilometer 39 Jalan Klang-Teluk Intan di sini, petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 4.30 petang itu, lelaki berusia 25 tahun berkenaan menunggang motosikal Yamaha 135 LC secara bersendirian.

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintenden Ramli Kasa berkata, siasatan awal mendapati mangsa ketika itu dalam perjalanan dari Sungai Kapar Indah, Klang menuju ke tempat kerjanya di Air Selangor, Kuala Selangor.

“Setibanya di tempat kejadian, mangsa dipercayai menunggang dalam keadaan mengantuk lalu terbabas ke kiri jalan berkenaan.

“Mangsa kemudian masuk ke dalam parit berlumpur dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Jelas beliau, mayat mangsa dibawa ke Hospital Tanjong Karang untuk tindakan lanjut.

“Hasil bedah siasat mendapati kematian berpunca kesan kecederaan pada kepala akibat kemalangan itu.

“Tempoh masa mangsa berada di dalam parit itu tidak dapat dipastikan dan mayat dibawa keluar oleh bomba,” katanya.

Tambah Ramli, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Siasatan mendapati jalan dua lorong itu berturap batu dan pembahagi konkrit sebagai pemisah hala. Selain itu, lokasi tersebut tidak mempunyai lampu jalan atau kamera litar tertutup (CCTV),” katanya.

Sementara itu, Ketua Pusat Gerakan Operasi Bomba Selangor, Zulfikar Jaffar berkata, sepasukan tujuh pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Selangor bergegas ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan kecemasan.

“Mangsa terjatuh di kedalaman kira-kira tiga kaki dan berjaya dikeluarkan dari parit berkenaan. Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

Leave a Reply