SERING termenung ketika berseorangan menjadi petanda akhir sebelum seorang penghantar makanan terbabit dalam kemalangan maut di Sungai Buloh pada Jun lalu.
Kisah ini diceritakan sendiri isteri mangsa, Sharifah Emilia Syed Idid, 41, kepada Majoriti pada Selasa.
“Arwah suami banyak termenung sebulan sebelum terbabit kemalangan dan sering duduk seorang diri ketika berada di rumah sekitar Rawang, Selangor.
“Pada masa sama, arwah yang berusia 46 tahun juga sering menangis seorang diri kerana teringat arwah bapa,” katanya.
Sharifah berkata, siapa sangka sebulan kemudian dia dikejutkan dengan panggilan telefon bahawa suaminya tidak sedarkan diri selepas terbabit dalam kemalangan.
“Saya terkejut dan hanya mampu terduduk selepas menerima berita arwah suami dilanggar kereta ketika dalam perjalanan pulang ke rumah.
“Saya masih ada empat orang anak berusia 21 hingga 4 tahun yang masih bersekolah dan bergantung sepenuhnya kepada suami.
“Saya juga bernasib baik kerana sebulan sebelum kejadian, suami gigih meminta bantuan anak saudara di Kedah untuk memohon menjadi pencarum di Perkeso.
“Hampir setiap hari juga suami bertanya kepada anak saudara sehingga saya sedikit pelik kenapa arwah bersungguh-sungguh mahu mempercepatkan proses permohonan,” jelasnya.
Tambah Sharifah, arwah suaminya meninggal dunia ketika dalam perjalanan pulang ke rumah selepas selesai bekerja sebagai penghantar makanan.
“Dunia saya menjadi gelap dan hampir hilang arah kerana tiada tempat untuk bersandar serta bergantung. Saya hanya bekerja menjual makanan secara kecil-kecilan untuk meneruskan kehidupan.
“Arwah suami meninggal dunia di Hospital Sungai Buloh pada 24 Jun lalu selepas bertarung nyawa hampir tiga hari,” jelas suri rumah tersebut.
Dalam pada itu, Ketua Cawangan Skuad Prihatin dan Sinergi Perkeso, Ismail Abi Hashim berkata, isteri arwah menerima dua bantuan daripada Perkeso.
“Isteri arwah menerima pampasan penakat dan faedah orang tanggungan sebanyak RM2,507 pada setiap bulan.
“Pada masa sama, kita juga membantu memberikan sumbangan pengurusan mayat dan menghadiahkan sebuah komputer riba untuk kegunaan anak arwah,” katanya kepada Majoriti.
Kata Ismail, pihaknya meminta individu yang bekerja sendiri atau penghantar makanan untuk mencarum Perkeso sebagai langkah awal.
“Kita tidak tahu bila kejadian yang tidak diingini berlaku dan dengan mencarum di Perkeso dapat mengurangkan beban yang terpaksa ditanggung waris.
“Perkeso juga sentiasa komited dalam memastikan keselamatan sosial pencarum dan individu dibawah tanggungannya,” jelasnya. — Majoriti
Leave a Reply