Berita Utama

Suami terkandas di Sarawak, wanita ini terpaksa beranak seorang diri

KUALA LUMPUR – “Tipulah kalau saya katakan tidak sedih melahirkan anak tanpa suami di sisi, namun saya tetap cekalkan hati dan tidak ikutkan emosi,” kata ibu enam anak, Nur Amalina Saad.

Nur Amalina, 32, selamat melahirkan bayi lelaki yang juga anak keenamnya pada 4.11 petang semalam di Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) Seremban, Negeri Sembilan.

Terdahulu, kisah Nur Amalina tular di media sosial selepas dia memuat naik hantaran ke Facebook (FB), Kami Suri Rumah.

Menerusi hantaran itu, Nur Amalina berkongsi kisahnya yang bakal melahirkan anak keenam sendirian kerana suaminya, Fadzreen Abdul Malik, 42, yang bekerja sebagai jurutera di Sarawak, tidak dapat pulang kerana pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Nur Amalina turut berkongsi gambar yang sempat diambil bersama lima anaknya sebelum melahirkan cahaya mata keenamnya dengan kesemuanya memakai baju sedondon.

Bercerita lanjut, Nur Amalina yang menetap di Sendayan, Negeri Sembilan berkata, hantaran itu sekadar dimuat naik untuk berkongsi pengalamannya saja.

“Saya muat naik hantaran itu untuk berkongsi cerita saja tanpa ada niat meraih simpati atau mahukan perhatian sesiapa.

“Gambar bersama anak itu pula diambil dengan bantuan jiran, namun tak sangka pula perkongsian itu mendapat perhatian dan saya jadi terharu apabila ramai yang mendoakan.

“Terima kasih semua dan Alhamdulillah, saya selamat melahirkan bayi lelaki petang semalam secara pembedahan,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Menurut Nur Amalina, dia pernah melalui pengalaman sama ketika melahirkan anak kelima yang kini berusia tiga tahun.

Baginya, pengalaman itu menjadikannya seorang wanita dan isteri yang lebih berdikari tanpa terlalu bergantung dengan suami.

“Saya dan suami sebenarnya sudah lama menjadi pasangan jarak jauh cuma pada Disember lalu, suami dihantar bertugas secara tetap di Sarawak.

“Saya yang bertanggungjawab menjaga kesemua anak sendiri. Ketika hamil, saya pergi melakukan pemeriksaan di klinik sendiri dan sudah jadi biasa cuma mujurlah ada rakan tinggal berhampiran yang membantu menjaga anak selepas saya dimasukkan ke wad bersalin pagi semalam,” katanya.

Nur Amalina percaya bukan saja dirinya, malah ramai lagi wanita di luar sana yang senasib dengannya.

“Tiada pilihan kecuali perlu tabah kerana dalam hidup ini, ada masanya kita perlu berdikari. Saya percaya wanita di luar sana juga boleh melaluinya seandainya cekal,” katanya.

Loading...

Leave a Reply

error: Content is protected !!