Putrajaya: Bekas penyampai radio Era FM dan Suria FM, Suby, 55, meninggal dunia selepas azan Zuhur di Hospital Putrajaya, di sini, hari ini.
Isterinya Aishah Saironi, 57, berkata, Allahyarham suaminya sebelum itu menjalani pembedahan membuang sebahagian usus sepanjang 1.8 meter jam 3.30 petang semalam di hospital berkenaan.
“Antibiotik kuat yang diberi pada tubuh Subi tidak berkesan. Dia meninggal dunia selepas azan Zuhur pada jam 1.38 petang tadi,” katanya.
Terdahulu, Suby atau nama sebenarnya Subarna Mokhtarudin mengalami masalah hilang pendengaran sejak 2017.
Dalam laporan Harian Metro sebelum ini, Suby pernah terbabit dalam kemalangan Ogos lalu apabila kereta yang dipandunya terbabas ketika dalam perjalanan dari Cyberjaya untuk pulang ke rumah di Dengkil.
Bagaimanapun, dia tidak mampu mengingati kejadian ini apabila ditanya isteri dan anak-anaknya.
Sebelum itu juga, Subi pernah jatuh di rumah akibat hilang imbangan dan kepalanya terhantuk di bucu meja. Kesannya kuat hingga berlaku pendarahan dalam kepala.
Sejak itu, dia menjadi semakin pelupa dan keseimbangan badan juga berkurangan.
Suby juga pernah dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur akibat kemalangan yang menjadikan sikapnya banyak berubah. Doktor juga membekalkan ubat penahan muntah dan sakit kepala kerana dia sentiasa pening.
Selepas tamat kontrak bersama Suria FM pada akhir 2017, Suby mengendalikan radio Internet dan sistem karaoke sendiri.
Leave a Reply