Blog Berita Online

Berita Utama

Polis jangan melampau, perlu hormat peserta himpunan haram – Suhakam

SURUHANJAYA Hak Asasi Manusia (Suhakam) berkata polis perlu menghormati dan mengiktiraf hak untuk berhimpun secara aman.

Dalam satu kenyataan hari ini, Suhakam berkata ia bimbang dengan respons polis yang berlebihan terhadap perhimpunan dan hak asasi rakyat untuk meluahkan pandangan mereka.

Ia memetik contoh terbaru seperti penahanan 13 belia kerana mengadakan acara menyalakan lilin sebagai mengenang mangsa Covid-19 selain penutupan jalan utama dan pengangkutan awam menuju Kuala Lumpur dan Dataran Merdeka, dalam respons kepada himpunan kedua #Lawan, yang dibatalkan beberapa hari sebelum ia berlangsung.

“Suhakam menggesa polis menghormati dan iktiraf hak untuk berhimpun secara aman di tempat terbuka atau persendirian, bagi meluahkan, mempromosikan, memperjuangkan atau mempertahankan kepentingan bersama, yang menjadi asas kepada hak manusia.

“Tiada sekatan sepatutnya dikenakan kepada penggunaan hak ini selain daripada yang dikuatkuasakan bagi pematuhan undang-undang, dan diperlukan dalam masyarakat demokrasi untuk kepentingan keselamatan negara atau ketenteraman awam, perlindungan terhadap kesihatam awam atau moral atau perlindungan hak dan kebebasan, seperti dinyatakan dalam Artikel 21 Konvensyen Antarabangsa berkenaan Hak Awam dan Politik ICCPR).”

Suhakam berkata dua insiden berkenaan mendedahkan tindakan yang tidak selaras dengan negara sebagai pemegang tanggungjawab, memikul tanggungjawab untuk membenarkan dan membantu rakyat, sebagai pemegang hak, terhadap hak mereka mengadakan himpunan secara aman.

“Dilaporkan peserta vigil itu, yang ditahan secara paksa dan dibawa ke balai polis, ketika itu tidak diberitahu tentang hak mereka atau asas penahanan.

“Laporan menyatakan ahli kumpulan itu tidak diberikan akses kepada peguam, adalah jelas melanggar hak perlembagaan mereka seperti dinyatakan dalam Artikel 5 dan 10 Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

“Dengan kerjasama baik antara polis dan penganjur, semua rakyat Malaysia mungkin dapat menikmati hak untuk berhimpun secara aman, dan satu hari nanti tidak lama lagi, hak kebebasan bersuara mereka akan dapat dipenuhi.”

Pada Khamis, 31 individu ditahan kerana mengadakan acara menyalakan lilin di Dataran Merdeka sebagai mengenang kesedihan mereka yang kehilangan orang tersayang akibat Covid-19.

Berdasarkan kepada video dan gambar dirakamkan hari itu, individu terbabit dibawa ke trak polis dan dibawa ke ibu pejabat polis di Dang Wangi. – 23 Ogos, 2021.

Leave a Reply