PETALING JAYA – Seorang lelaki warga tempatan ditahan reman selama enam hari bagi membantu siasatan berhubung kes kematian seorang wanita yang dipercayai dibunuh di sebuah rumah di Taman Bangi, Jalan Reko, Kajang kelmarin.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Datuk Fadzil Ahmat berkata, lelaki berusia 57 tahun itu ditahan pada pukul 8.45 malam di sekitar Kajang semalam.
“Permohonan reman ke atas lelaki berkenaan telah dibenarkan selama enam hari bermula hari ini hingga Sabtu,” katanya menerusi satu kenyataan di sini hari ini.
Kosmo! hari ini melaporkan, mangsa yang bertugas sebagai Pengurus Jabatan Advokasi Pertubuhan Ikram Malaysia dikenali sebagai Nik Khatijah Nik Mud, 32, adalah individu yang sama dilaporkan hilang pada Sabtu lalu.
Susulan kehilangan Nik Khatijah, rakan setugas telah pergi ke rumah sewa mangsa sebelum menemui mayat mangsa dengan kesan jerutan di leher dipercayai dijerut menggunakan kabel penyambung elektrik dan telah meninggal dunia dalam tempoh 24 jam.
Kereta jenis Nissan Almera warna hitam milik mangsa turut ditemui tidak jauh dari kawasan parkir di sebuah pasar raya di Jalan Reko, Kajang. – K! ONLINE.
Leave a Reply