Berita Utama

Suspek tembak anggota PGA dikatakan telah berjaya ditahan

Beberapa suspek yang dipercayai terlibat dalam insiden tembakan di pos sempadan Malaysia-Thailand, dekat Padang Besar, awal pagi tadi telah berjaya ditahan oleh pihak berkuasa Thailand.

Salah seorang daripada suspek ditahan berhampiran lokasi kejadian manakala tiga yang lain ditahan ketika menerima rawatan di Hospital Hatyai.

Menurut sumber, suspek merupakan ahli sindiket penyeludupan yang marah dengan tindakan pihak berkuasa Malaysia mengetatkan kawalan sempadan terutama di Perlis dan Kedah, menyebabkan kegiatan haram tersebut sukar dilakukan.

Katanya, sindiket sama turut dipercayai melepaskan tembakan amaran ke arah anggota PGA yang sedang melakukan rondaan sempadan di Bukit Kayu Hitam, Kedah, 13 November lalu.

Dalam kejadian pada jam 3.10 pagi tadi, anggota PGA, Koperal Baharuddin Ramli, 54, terkorban terkena tembakan, manakala seorang lagi anggota PGA, Koperal Norihan A/L Tari, 39, mengalami kecederaan parah dan dilaporkan kritikal.

Menurut sumber itu, anggota yang sedang melakukan kawalan di pos sempadan dipercayai diserang dari arah negara jiran oleh anggota sindiket yang kemudian bertindak melarikan diri.

Laporan sebelum ini menyebut, tindakan pihak berkuasa mengetatkan kawalan sempadan Malaysia-Thailand sejak Mac lalu, menyebabkan kegiatan penyeludupan terutama membabitkan sindiket dadah dan ketum lumpuh.

Loading...

Leave a Reply

error: Content is protected !!