Viral

Tak sedar dah 5 bulan ‘baby’ dalam perut, penantian wanita ini selama 15 tahun berakhir

Setiap pasangan suami isteri sudah pasti mempunyai keinginan untuk bergelar mak ayah. Pun begitu, terdapat juga pasangan yang terpaksa menunggu dalam tempoh yang lama untuk menimang cahaya mata.

Menerusi perkongsian seorang wanita, dia terpaksa menunggu selama 15 tahun sebelum disahkan hamil.

Wanita yang mesra disapa Puan Junaida ini juga tidak menyedari dia sebenarnya sudah berbadan dua selama lima bulan.

Menurutnya, ini kerana dia mengalami masalah haid tidak teratur dan tidak lawas sejak sebelum kahwin lagi.

Sedar ada perubahan fizikal

Walaupun pada mulanya dia menyedari terdapat perubahan pada payudara dan perutnya, namun dia tidak mengendahkannya dan menganggap ia hanyalah pertambahan berat badan.

Tambahan lagi, dia juga menyangkakan keadaan perutnya yang sedikit keras adalah disebabkan masalah sembelit yang dihadapinya.

Terkejut nampak dua garis biru

Menyangkakan dia mengalami masalah sembelit, Puan Junaida ke farmasi bagi mendapatkan ubat. Di samping itu, dia juga turut membeli ‘pregnancy test’ seperti yang disyorkan oleh suaminya.

Puan Junaida cuba membuat ujian dan akhirnya terkejut apabila mendapati hasil ujian menunjukkan dua garis biru menandakan dia telah hamil.

“Ya Allah terkejutnya tengok naik dua lines, 15 tahun saya test tak pernah naik dua lines ni.

“Saya masa tu memang terharu sangat tak boleh nak cakap, seharian saya menangis,” katanya.

Rupanya dah lima bulan ‘baby’ dalam perut

Bagi mendapatkan kepastian, Puan Junaida turut membuat pemeriksaan di klinik. Tidak disangka baginya apabila doktor memberitahunya bahawa ‘baby’ sudah di dalam perutnya dalam tempoh lima bulan.

“Pastu saya pergi klinik untuk pastikan balik, tiba-tiba doktor cakap lima bulan dah ‘baby’ di dalam perut saya,” ujarnya.

Pernah rasa ‘down’ walaupun suami dan keluarga tidak merungut

Menceritakan pengalaman sebelum hamil, Puan Junaida mengakui bahawa dia turut berasa ‘down’ kerana tidak dikurniakan zuriat hampir 15 tahun. Walaupun suami dan keluarganya tidak merungut, dia juga inginkan pengalaman tersebut seperti yang dialami oleh wanita-wanita lain.

“Saya punya keluarga semua tak ada beri tekanan cuma saya ja kalau boleh nak juga seorang zuriat juga,” ujarnya.

Dia yang merupakan anak sulung hanya bermain dengan anak-anak saudaranya sebelum ini. Namun selepas ini, giliran adik beradiknya yang lain untuk bermain dengan anaknya pula. Sememangnya, disahkan hamil setelah bertahun-tahun penantian merupakan perasaan yang sukar diungkap dengan kata-kata.

Rezeki daripada Allah SWT

Kurniaan yang tidak ternilai ini merupakan rezeki yang dikurniakan oleh Allah SWT walaupun terpaksa menanti dalam tempoh yang lama. Di samping itu, berkat usaha Puan Junaida dan suami serta dengan izin Allah SWT, pasangan ini bakal menimang cahaya mata tidak lama lagi.

Puan Junaida menyatakan bahawa dia turut mengikuti nasihat yang diberikan oleh doktor kepadanya.

Antaranya ialah dengan menjaga pemakanan seperti meninggalkan kafein, meninggalkan makanan di dalam tin serta makanan-makanan segera.

Loading...

Leave a Reply