Menteri Kesihatan, Dr Adham Baba telah mengeluarkan perintah yang melonggarkan peraturan kuarantin kepada rakan-rakan anggota kabinet yang melakukan perjalanan rasmi ke luar negara.
Perintah tersebut pada dasarnya mengurangkan tempoh kuarantin menteri dari 10 ke tiga hari.
Perintah itu dinamakan “Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Pengecualian) 2021” terbit pada Warta Persekutuan hari ini.
Ia ditandatangani Adham dan akan berkuatkuasa esok 9 Feb.
Perintah itu menyatakan: “Menteri (Dr Adham Baba) mengecualikan jemaah menteri yang kembali dari mana-mana lawatan rasmi luar negara daripada pemakaian seksyen 15 Akta.
Ini merujuk kepada Akta (342) Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.”
Seksyen 15 akta ini memperuntukkan: “Seseorang pegawai diberi kuasa boleh memerintahkan supaya mana-mana kontak menjalani pemerhatian di mana-mana tempat dan bagi apa-apa tempoh yang difikirkannya patut, atau menjalani pengawasan sehingga dia boleh dilepaskan tanpa membahayakan orang ramai.”
Dengan perintah yang dikeluarkan Dr Adham, anggota kabinet tidak perlu menjalani prosedur operasi standard (SOP) tempoh kuarantin 10 hari yang ditetapkan kerajaan untuk mereka yang masuk dari luar negara.
“Jemaah menteri yang kembali dari mana-mana lawatan rasmi luar negara hendaklah menjalani pemerhatian selama tiga hari atau menjalani pengawasan sehingga boleh dilepaskan tanpa membahayakan orang ramai,” kata syarat pengecualian akta 342 dalam perintah menteri kesihatan itu.
Tidak jelas sekiranya perintah itu akan dikenakan terhadap Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, yang kembali ke Malaysia pada Jumaat lalu (5 Februari) setelah lawatan rasmi dua hari ke Indonesia.
Jika perintah itu berlaku atas Muhyiddin, maka dia bebas daripada kuarantin esok, pada hari yang sama perintah itu berkuatkuasa.
Menteri Luar Negeri Hishammuddin Hussein juga dalam perjalanan rasmi ke Abu Dhabi.
Dia akan pulang ke Malaysia setelah perintah itu berkuatkuasa dan oleh itu hanya perlu menjalani kuarantin selama tiga hari.
Pada Ogos tahun lalu, Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, Khairuddin Aman Razali didenda RM1,000 setelah gagal mematuhi peraturan kuarantin selepas kembali dari Turki.
Leave a Reply