Blog Berita Online

Viral

Terasa hati kata-kata guru, pelajar hilang fokus ketika jawab soalan SPM

GURAUAN seorang guru yang dianggap kasar sehari sebelum kertas peperiksaan Matematik Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) berlangsung membuatkan pelajar ini mengalirkan air mata dan hilang fokus seketika.

Cuba untuk melupakan kata-kata yang diungkap guru tersebut, namun calon SPM berkenaan, Nurul Aqilah Yazid, 18, mengakui perkara itu sukar untuk dilakukan.

Biarpun sebelum ini sudah terbiasa menjadi ejekan guru-guru lain tentang jerawatnya tetapi kali ini perkataan ‘jerawat batu’ menyebabkan pelajar ini tersinggung.

“Saya nak kongsi kisah sedih hari ini. Saya ada kelas Matematik di sekolah, semangat nak belajar tetapi… Cuba untuk tak mahu terasa,” tulisnya di video TikTok.

Biarpun sebelum ini sudah terbiasa dengan kata-kata tersebut tetapi ‘jerawat batu’ yang diungkapkan guru tersebut membuatkan dirinya tersentap.

Ketika dihubungi mStar, dia berkata, kejadian kira-kira pukul 8.30 pagi Ahad lalu itu bukan yang pertama dialaminya, cuma sebelum ini dia langsung tidak menyimpan dalam hati kerana menganggap itu hanya gurauan semata-mata.

“Saya sendiri pelik kenapa hari itu saya tersentuh sangat. Sebelum ini ramai sahaja yang tegur dan ejek kulit muka saya yang berjerawat ini tetapi tak pernah pula terasa sampai macam ini.

“Kali ini emosi terlebih mungkin sebab saya tanya baik-baik tetapi dibalas dengan ayat yang pedas dan menyakitkan.

“Jerawat batu tu membuatkan saya tersentap dan fikir teruk sangat ka kulit muka saya sampai cikgu kata macam tu sekali.

“Bukan hanya seorang guru yang selalu menjadikan saya contoh kulit wajah ketika dalam kelas,” katanya.

Lebih mesra disapa Aqilah, pada mulanya dia tidak mahu berkongsi hal ini mahupun menunjukkan kesalahan guru tersebut tetapi calon SPM ini berharap perkongsiannya dapat membuatkan guru lain menjaga tutur kata ketika berdepan pelajar mereka.

“Saya sedar seorang pelajar patut taat dan hormat dengan guru setiap masa. Ibu dan ayah pun bagi tahu hal sama. Cuma salahkah saya luahkan apa saya rasa.

“Saya tak cakap siapa betul siapa salah. Biarpun jelas kadang kala itu banyak hal yang dikongsikan pelajar mengenai sikap guru yang kurang menyenangkan tetapi akhirnya pelajar juga disalahkan.

“Dalam kejadian Ahad lalu itu, saya ke kelas tambahan Matematik dan sebaik terima kertas saya dapati ada soalan saya tidak tahu. Kebetulan cikgu itu lalu belakang saya untuk pasang projector, jadi saya pun tanya macam mana nak jawab soalan itu. Kemudian cikgu itu cakap ‘Orang suruh buat tak nak buat, tumbuk muka kau pecah jerawat batu tu nanti’. Saya dengar tu terus tersentap,” ujarnya.

Tambah pelajar dari Sekolah Menengah Tun Tuah, Melaka itu, dia langsung tidak mahu jadikan kejadian itu isu besar malah hanya pulang ke rumah luahkan kepada ibu dan ayahnya.

Bagaimanapun, kedua ibu bapanya hanya menasihatinya dan memujuk puteri mereka itu supaya tidak berkecil hati dengan guru berkenaan.

“Saya tak pernah mengadu benda remeh ini sebenarnya. Tetapi saya rasa ayat tu memberi kesan sangat pada saya hari itu tambah lagi esoknya kertas subjek yang diajar cikgu tersebut.

“Sepatutnya dia lebih memahami kerana dia pun perempuan. Biasalah muka berjerawat. Bukan saya tak usaha hilangkan.

“Nasihat ibu ayah senang sahaja hormati dia kerana tanpa dia siapalah kita. Maafkan dia mungkin tak sengaja. Berkat seorang guru itu penting,”ujarnya lagi.

Leave a Reply