“Terkejut juga apabila panggilan yang diterima daripada orang awam malam tadi memaklumkan mangsa kemalangan itu adalah anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) berdasarkan pakaian mangsa.
“Memang tak sangka rupanya rakan sendiri iaitu Razali Abdul Manaf, 56, yang bertugas satu syif dengan saya malam tadi,” kata Mohamad Akmal Hakim Abdul Razak, 28.
Razali terbabit dalam kemalangan dengan dua kereta di Kilometer 15.3 Lebuhraya Utara Selatan arah utara di Asun, Jitra, dekat sini, tengah malam tadi dan meninggal dunia di tempat kejadian.
Mohamad Akmal yang juga anggota APM Kubang Pasu berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kemalangan itu pada jam 12.55 tengah malam tadi.
Katanya, arwah seorang yang sangat baik dan kejadian berlaku ketika dia dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Kampung Kemboja, Jalan Bukit Kechil selepas pulang bertugas syif malam.
“Kami sempat berbuka puasa bersama malam tadi dan memang nampak perubahan pada arwah kerana sebelum ini dia selalu bawa bekal makanan yang dimasak isterinya tetapi semalam tidak.
“Sebelum nak balik pun dia sempat bergurau, “lepas ni tak boleh nak melawak (bergurau) dah la,” sebelum pulang menunggang motosikal dan melambai ke arah kami,” katanya.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Kubang Pasu, Kapten (PA) Mohd Adenin Suhaimi berkata, Razali berkhidmat di APM Kubang Pasu sejak tahun 2017.
“Kami semua kehilangan seorang anggota yang berdedikasi dan rajin,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Rodzi Abu Hassan berkata, kemalangan dipercayai berlaku pada jam 12.55 tengah malam membabitkan motosikal Honda Wave yang ditunggangi mangsa dengan kereta Perodua Axia dan Proton Persona.
Menurutnya, siasatan awal di lokasi kejadian mendapati, kemalangan dipercayai berlaku ketika motosikal dan dua kereta terbabit bergerak dari arah yang sama iaitu dari arah Jitra menghala ke Changlun.
“Sebaik tiba di tempat kejadian, kereta Perodua Axia yang dipandu seorang lelaki berusia 37 tahun dipercayai hilang kawalan dan melanggar motosikal mangsa yang berada di hadapan menyebabkan mangsa terjatuh di atas jalan.
“Berikutan itu, mangsa dilanggar sebuah kereta Proton Persona yang dipandu seorang lelaki berusia 42 tahun yang ketika itu sedang bergerak dari arah yang sama,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Rodzi berkata, akibat kemalangan itu, penunggang motosikal terbabit mengalami kecederaan parah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Leave a Reply