Berita Utama

Terminal feri Kuala Perlis sesak, pengunjung langgar SOP

SUASANA di Terminal Feri Kuala Perlis, hari ini, sesak dengan pengunjung melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) kerana beberapa perjalanan feri ke Pulau Langkawi, Kedah ditunda beberapa jam.

Bermula 9.45 pagi tadi, ratusan pengunjung berkumpul di luar terminal berikutan jumlah pengunjung di ruangan menunggu sudah mencapai kapasiti maksimum.

Ketua Polis Daerah Kangar, Superintendan Wari Kiew berkata, pihaknya menghantar seramai 12 anggota keselamatan bagi mengawal keadaan di terminal berkenaan.

“Keadaan mula sesak antara 9.45 pagi hingga 10.45 pagi memandangkan perjalanan feri di sebelah pagi dari Kuala Perlis ke Pulau Langkawi tertunda atas faktor air cetek.

“Atas sebab itu pengunjung mula memenuhi terminal disamping kapasiti kerusi di ruangan menunggu adalah terhad sehingga ramai beratur di luar,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Wari berkata, bagaimanapun keadaan mula terkawal pada tengah hari apabila air mula pasang dan beberapa feri memulakan perjalanannya.

“Sehingga 2.30 petang tadi keadaan sudah mula terkawal dengan anggota keselamatan bertindak memainkan peranan agar pengunjung kekal mematuhi SOP,” katanya.

Beliau tidak menolak kemungkinan keadaan sedemikian berlaku kerana faktor cuti umum sehingga ramai pengunjung memulakan aktiviti persendirian.

Sementara itu, pengunjung, Nazri Ramli, 29, berkata perjalanan ferinya tertunda kira-kira satu jam atas faktor fenomena air surut.

“Sebelum ini memang pernah berlaku kejadian perjalanan feri tertunda, tapi tidak sangka pula keadaan begitu sesak dengan pengunjung ramai begini.

“Ditambah pula keadaan wabak sekarang ini, rasa bimbang pun ada jika wujud kluster baharu,” katanya yang ingin pulang bercuti ke kampung halaman di Ayer Hangat, Langkawi.

Bagi Rosnah Haris, 38, pula, dia antara pengunjung terawal yang tiba di terminal namun perasaannya sedikit hampa kerana perjalanan ferinya sekeluarga ditunda disamping terpaksa bersesak dengan pengunjung lain.

“Sedikit demi sedikit pengunjung mula penuh di bahagian ruangan menunggu feri, saya sengaja datang awal ke terminal walaupun perjalanan feri keluarga kami pada 10 pagi.

“Tetapi disebabkan perjalanan tertunda, keadaan makin sesak dan khuatir jika kami enam beranak terpisah dalam ratusan pengunjung lain,” katanya.

Loading...

Leave a Reply