Berita Utama

Tiga beradik maut nahas tiga kenderaan di Bentong

TIGA sekeluarga maut dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di KM18 Jalan Bentong-Raub berhampiran Lurah Bilut, Bentong kira-kira 130 kilometer dari Kuantan, hari ini.

Ketua Polis Daerah Bentong Superintendan Yusof Unis berkata, kejadian pada 8.25 pagi itu yang membabitkan dua kereta dan sebuah lori turut menyebabkan empat yang lain cedera termasuk seorang parah, manakala lima lagi selamat.

Mereka yang maut dikenal pasti sebagai Norasmah Ismail, 55, serta dua adiknya Masitah, 54, dan Muslaini, 48, dari Melaka yang menaiki Proton Exora dipandu lelaki berusia 21 tahun bersama tiga lagi ahli keluarga mereka.

“Semua mangsa difahamkan dalam perjalanan dari Shah Alam, Selangor ke Kelantan ketika kemalangan itu berlaku yang dipercayai akibat pemandu cuba mengelak Proton Saga di hadapannya yang membrek mengejut kerana terdapat kerja penyelenggaraan jalan.

“Proton Exora itu mengelak ke kanan, namun terlanggar belakang Proton Saga sebelum terbabas ke laluan bertentangan dan bertembung dengan lori,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Yusof berkata, pemandu Proton Exora itu dikejarkan ke Hospital Raub, sementara tiga lagi ahli keluarganya yang cedera termasuk seorang kanak-kanak berusia enam tahun dirawat di Hospital Bentong dan seorang di zon merah.

Pemandu kereta Proton Saga dan tiga ahli keluarganya serta pemandu lori berusia 37 tahun tidak cedera.

Siasatan lanjut dijalankan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, katanya.

Loading...

Leave a Reply