Berita Utama

Tiga beranak maut nahas di Kuala Selangor

TIGA beranak maut, manakala seorang kritikal selepas terbabit dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 37 Jalan Klang-Teluk Intan, dekat Kuala Selangor, malam tadi.

Dalam kejadian 10.45 malam itu, mangsa, Anni Kholilah, 42 serta dua anak perempuannya, Nurkhalisah Ali Yusri, 24 dan Nur Syafiqah Ali Yusri, 17, masing-masing yang menaiki Honda City maut di lokasi kejadian.

Pemandu pacuan empat Nissan Frontier berusia 40 tahun pula dilaporkan kritikal dan dihantar ke Hospital Tanjong Karang (HTK) sementara pemandu kereta Perodua Viva berusia 24 tahun tidak cedera.

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor Superintendan Ramli Kasa berkata, siasatan di tempat kejadian mendapati Nurkhalisah yang memandu Honda City dari arah Tanjong Karang menuju ke Pelabuhan Klang.

Katanya, pemandu Nissan Frontier pula memandu dari Klang menghala ke Kuala Selangor.

“Tiba di lokasi, Nissan Frontier terbabit dipercayai masuk ke haluan bertentangan dan bertembung dengan Honda City.

“Kemudian, Perodua Viva yang berada di belakang Honda City mengelak kenderaan yang kemalangan itu dan melanggar bahagian sisi hadapan kanan Nissan Frontier,” katanya, hari ini.

Ramli berkata, kemalangan mengakibatkan tiga mangsa di dalam Honda City itu meninggal dunia, manakala pemandu Nissan Frontier berada dalam keadaan kritikal di HTK.

“Semua mangsa dibawa ke HTK dan bedah siasat dijalankan 1.30 pagi hari ini.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Loading...

Leave a Reply