Blog Berita Online

Berita Utama

Tiga maut kemalangan lori dengan treler di Batu Pahat

BATU PAHAT – Seorang pemandu dan dua kelindan sebuah lori maut dalam kemalangan membabitkan kenderaan berat itu dengan sebuah treler di Jalan Kluang-Batu Pahat di sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian pada pukul 6.28 pagi itu, mangsa yang maut ialah Mohamad Azraai Mohamad Rizal, 24; Deli Mustapha, 59, dan Sadam Hussin Hamidon, 30.

Mohamad Azraai yang memandu lori membawa muatan peralatan bengkel itu meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah.

Selain itu, Deli dan Sadam Hussin yang turut cedera parah di anggota badan kerana tersepit di bawah lori juga disahkan meninggal dunia di lokasi terbabit.

Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor berkata, pemandu treler berusia 39 tahun yang membawa muatan simen pula selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Pihak bomba terpaksa menggunakan peralatan khas untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit dan turut dibantu oleh sebuah kren bagi mengeluarkan mangsa tersepit di dalam lori tiga tan tersebut.

“Ketiga-tiga mangsa yang tersepit berjaya dikeluarkan dan kesemua mayat diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambah kenyataan itu, seramai 18 anggota dan dua jentera FRT serta sebuah jentera EMRS dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ayer Hitam dan BBP Kluang dikejarkan ke tempat kejadian.

Operasi menyelamat ditamatkan pada pukul 8.43 pagi.

Sementara itu, isteri Azraaai dikenali sebagai Malina Ayob redha dengan pemergian suaminya selain meluahkan kesedihannya di media sosial.

“Ya Allah, abang dah tinggalkan sayang selamanya. Al-Fatihah buat suami tersayang. Semoga abang tenang di sana. Sayang tunggu abang dekat sana nanti ye. Ya Allah, kuatkanlah hati aku,” tulisnya di Facebook.

Leave a Reply