KUALA LUMPUR ― Tiga lelaki maut selepas terhidu gas semasa melakukan kerja-kerja pembersihan sebuah loji kumbahan di Jalan Pantai Permai 1, Pantai Dalam, di sini semalam.
Mereka yang terdiri daripada dua warga tempatan dan seorang Bangladesh itu adalah pekerja kontraktor pembersihan.
Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur dalam kenyataan memaklumkan kejadian dilapor pada pukul 2.41 petang, melibatkan enam lelaki yang merupakan pekerja pembersihan mengalami masalah pernafasan akibat terhidu gas dalam loji kumbahan itu.
“Dua daripada mereka berjaya menyelamatkan diri sebelum bomba tiba, manakala empat lagi mangsa masih berada di dalam tangki loji itu,” menurut kenyataan itu.
Kenyataan itu menyatakan anggota Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (Hazmat) bomba turut melakukan kerja-kerja bacaan udara dan pengudaraan di lokasi, bagi memastikan kualiti udara dalam keadaan selamat.
“Seorang mangsa berjaya diselamatkan dan dihantar ke hospital,” jelas kenyataan itu.
Kenyataan itu memberitahu tiga lelaki yang maut dikeluarkan daripada loji itu oleh anggota Unit Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dan pasukan Hazmat melakukan proses dekontaminasi sebelum diserah kepada polis untuk tindakan lanjut.
Sementara itu, Indah Water Konsortium (IWK) Sdn Bhd dalam kenyataan memberitahu, pihaknya akan memberi kerjasama kepada pihak berkuasa bagi membantu siasatan kejadian itu.
“IWK juga akan menjalankan siasatan dalaman bagi mengenal pasti punca kemalangan membabitkan tiga pekerja kontraktor pembersihan itu.
“IWK mengucapkan takziah kepada keluarga pekerja kontraktor yang terkorban, ketika menjalankan tugas operasi pembersihan di ruang terkurung Loji Rawatan Kumbahan Serantau Pantai 1,” menurut kenyataan itu.
Jelas kenyataan itu, pihak IWK turut melahirkan rasa kesal ekoran kemalangan berkenaan, berikutan setiap prosedur berkaitan keselamatan dan kesihatan pekerja sebelum menjalankan sebarang tugasan operasi telah dijalankan dengan teliti. — Bernama
Leave a Reply