Berita Utama

Tiga penguat kuasa MBSA cawangan Sungai Buloh ditahan SPRM

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan tiga pegawai penguatkuasa Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).

Ketiga-tiga suspek yang bertugas MBSA cawangan Sungai Buloh itu disyaki menerima suapan bagi melindungi kegiatan premis perniagaan haram.

Penguat kuasa berusia antara 41 hingga 49 tahun itu turut disyaki mengutip dan menerima rasuah secara bulanan.

Suspek ditahan dalam satu operasi khas SPRM ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya, jam 9 pagi tadi.

SPRM turut menahan peniaga rokok seludup berbangsa Aceh seperti yang diceritakan dalam video tersebut kerana tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan dan akan diserahkan kepada pihak Imigresen bagi tindakan lanjut.

Menurut sumber, peniaga ini telah beroperasi sejak tahun 2019. Beliau dikatakan membayar wang rasuah sebanyak RM300.00 sebulan kepada penguatkuasa bagi mengelakkan sebarang tindakan.

Tambah sumber, penguatkuasa yang ditahan dipercayai menerima rasuah antara RM300.00 ke RM3,500.00 sebulan bagi sebuah premis perniagaan. Ini termasuk premis-premis yang menjalankan perniagaan kedai makan tanpa lesen, penjualan rokok, gerai-gerai yang menjalankan perniagaan di tempat-tempat yang tidak dibenarkan dan premis perjudian.

Ada juga yang berperanan sebagai pengkhianat dengan membocorkan maklumat berhubung operasi-operasi yang akan dilaksanakan. Ini menyebabkan setiap operasi yang dijalankan gagal dan telah diketahui awal oleh peniaga-peniaga haram ini.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu.

Beliau tidak menolak kemungkinan kutipan rasuah secara sindiket itu di kalangan anggota penguatkuasa.

Beliau menggesa mana-mana pihak yang mempunyai maklumat lanjut berhubung aktiviti rasuah di kalangan penguatkuasa untuk tampil memberikan kerjasama. Identiti dan maklumat pemberi maklumat akan dilindungi sepenuhnya.

Siasatan dijalankan dibawah seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009. Kesemua yang ditahan akan dihadapkan ke Mahkamah bagi permohonan reman dibawah seksyen 117 Kanun Acara Jenayah.

Loading...

Leave a Reply