Berita Utama

Tok Pa disahkan positif Covid-19

KOTA BHARU – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed disahkan positif Covid-19.

Perkara itu disahkan selepas beliau mendapat keputusan ujian saringan pada malam tadi.

Pejabat Menteri di JPM (Ekonomi) menerusi kenyataan media berkata, beliau menjalani ujian saringan Covid-19 sejurus tiba di Kota Bharu dari Kuala Lumpur, pagi semalam.

“Beliau sudah dimasukkan ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) Kota Bharu pada 10.30 malam tadi untuk pemantauan dan keadaannya stabil,” katanya.

“Pada 1 Januari, beliau sudah menjalani ujian saringan Covid-19 dan keputusannya adalah negatif.

“Beliau memohon maaf atas kesulitan yang timbul akibat daripada perkara ini dan memohon agar semua pihak berdoa kepada Allah SWT memudahkan urusan kita semua,” katanya.

Peningkatan kes kematian membimbangkan

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah melahirkan kebimbangan peningkatan jumlah kes kematian akibat Covid-19 dalam negara sejak kebelakangan ini.

Beliau berkata, setakat sembilan hari dalam tahun baharu ini sebanyak 71 kes kematian akibat pandemik itu direkodkan, berbanding kurang daripada 100 kematian dicatatkan dalam sembilan bulan pertama tahun lalu.

“Kita amat bimbang dengan perkembangan ini dan semoga Allah lindungi kita semua. #Kitajagakita,” katanya menerusi akaun Twitter.

Sembilan jam selepas dimuat naik, hantaran itu menerima 9,334 respon suka dari pengguna Twitter, sebanyak 7,856 kali diulang ciap dan menerima 232 komen.

Seorang pengguna Twitter Ariff Zuber dalam komen maklum balasnya berharap kerajaan melaksanakan sekatan pergerakan penuh supaya tidak lagi berlaku kes kematian Covid-19.

“Kesian dekat jenazah sebab keluarga tidak boleh hendak bagi mandi untuk kali terakhir dan juga solat jenazah untuk si mati buat kali terakhir,” menurut ciapannya.

Setakat semalam, Malaysia mencatatkan jumlah kumulatif kes kematian Covid-19 sebanyak 542 kematian atau 0.41 peratus daripada jumlah keseluruhan kes sebanyak 133,559 kes.

Malaysia merekodkan kes kematian harian tertinggi akibat Covid-19 iaitu sebanyak 16 kematian pada Jumaat lalu.

Loading...

Leave a Reply

error: Content is protected !!