Bekas Ketua Lembaga Wakaf Syiah Uttar Pradesh, Waseem Rizvi mencetuskan kemarahan di kalangan umat Islam di India setelah mengemukakan petisyen kepada Mahkamah Agung untuk menghapuskan 26 ayat dari Al-Quran kerana mengajar keganasan.
Beliau mengatakan bahawa 26 ayat itu bukanlah datang daripada kitab suci Al-Quran, tetapi dimasukkan sendiri ke dalam Al-Quran oleh tiga tokoh khalifah Islam yang pertama.
“Ayat-ayat ini ditambahkan ke dalam Al-Quran, oleh tiga khalifah pertama, untuk membantu mengembangkan Islam melalui perang,” katanya.
“Setelah Nabi Muhammad, khalifah pertama Abu Bakar, khalifah kedua Umar dan yang ketiga, iaitu Usman, mengeluarkan Al-Quran sebagai sebuah buku,” jelasnya.
Untuk rekod, Rizvi memang tidak asing dengan kontroversi.
Sebelum ini, beliau telah menjadi tajuk berita mengenai isu-isu seperti perceraian tiga kali, pertikaian agama dan kes rasuah.
Walaupun Rizvi sering mengambil peluang untuk mencetuskan kontroversi sesuai dengan parti yang disertai olehnya iaitu Parti Bharatiya Janata (BJP) – parti pemerintah India – namun beberapa pemimpin dari parti itu, termasuk Menteri Kesatuan Syed Shahnawaz Hussain telah mengecam tindakan terbaharunya.
“Saya sangat membantah dan mengecam petisyen Waseem Rizvi yang meminta menghapuskan 26 ayat dari al-Quran.
“Saya berpendapat bahawa menyatakan perkara-perkara yang tidak masuk akal mengenai teks agama, termasuk al-Quran, adalah tindakan yang sangat serius. Terkutuk,” kata Hussain seperti dipetik oleh Indian Express.
Sementara itu, komuniti Syiah dan Sunni telah bersatu untuk mengecam tindakan Rizvi, dengan menyatakan bahawa petisyennya hanyalah aksi publisiti dan usaha untuk menambah sentimen agama.
Setelah petisyennya dimulakan di Mahkamah Agung pada 11 Mac lalu, protes terhadap Rizvi telah berlaku di beberapa kota, dan aduan polis – termasuk oleh pemimpin BJP di Jammu dan Kashmir, dan satu di Bareilly di Uttar Pradesh – telah dibuat keatasnya.
Manakala seorang peguam yang berpusat di Moradabad telah ditahan oleh pihak polis selepas terdapat laporan bahawa dia mengumumkan hadiah berjumlah Rs 11 lakh atau sekitar RM50,000 untuk “memenggal kepala” Rizvi.
Leave a Reply