Blog Berita Online

Berita Utama

Tokoh ulama Kedah, Tuan Guru Pak Teh Mad meninggal dunia

PADANG TERAP: Tokoh ulama Kedah, Datuk Ahmad Mohd Nor yang lebih dikenali sebagai Tok Guru Pak Teh Mad, 96, meninggal dunia ketika dalam rawatan di Hospital Kuala Nerang hari ini, akibat jangkitan COVID-19.

Anaknya, Wan Mohd Assamudin Ahmad, 58, berkata arwah menghembus nafas pada jam 12.57 tengah malam tadi.

Beliau berkata, mereka sekeluarga reda dengan pemergian arwah selepas dirawat di Hospital Kuala Nerang sejak Jumaat lalu.

“Saya akan tunaikan hasrat ayah untuk membantu menguruskan Pondok Ahmadiah. Beliau turut berpesan agar saya membantu mengajar di pondok berkenaan.

“Allahyarham adalah seorang yang sangat tegas dalam mendidik kami anak-anaknya dan mahu ilmu agama terus disebarkan kepada orang ramai menerusi sistem pengajian pondok,” katanya.

Beliau ditemui di luar perkarangan Tanah Perkuburan Islam Kampung Padang Gelanggang, di sini, hari ini.

Jenazahnya selamat dikebumikan kira-kira jam 11.15 pagi tadi oleh kakitangan hospital mengikut prosedur operasi standard (SOP).

Wan Mohd Assamudin yang juga bekas pensyarah pengajian Bahasa Arab di Institut Agama Islam Negeri Kedah Darul Aman (INSANIAH) yang kini dikenali Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (UniSHAMS), berkata tujuh adik beradiknya yang lain tidak dapat mengiringi jenazah ke perkuburan berikutan sedang dikuarantin di rumah.

Katanya, ibunya Datin Wan Salehah Wan Ibrahim, 83, turut menjalani kuarantin di hospital berkenaan dan berada dalam keadaan baik.

Dilahirnya pada 16 November 1925 di Kampung Tanjung, Mukim Padang Terap, Allahyarham adalah pengasas Maktab Mahmud Padang Terap dan Pondok Ahmadiah di sini.

Allahyarham mendapat pendidikan di Sekolah Melayu Padang Terap; Madrasah Sa’adatun Daroian, Merbok; Pondok Pulau Rotan, Nako Nambua; Madrasah Al-Islamiah, Gajah Mati dan Madrasah Soulatiyyah, Makkah.

Antara gurunya ialah Tuan Guru Haji Abdul Rahman Merbok (Pondok Merbok), Tok Mogoi (Pondok Mogoi), Tuan Guru Pak Chu Him iaitu ayah mertuanya (Pondok Gajah Mati) dan Pak Da Eil Makkah.

Kemudiannya, Pak Teh Mad kembali ke tanah air dan mengasaskan sekolah pondok miliknya pada 1961.

Kehilangan Allahyarham disifatkan kehilangan besar dalam institusi keagamaan negara apabila Ahmad menabur bakti sehingga hujung nyawanya di madrasah berkenaan.

Sementara itu, seorang muridnya, Mohd Najib Ghazali, 43, berkata gurunya itu tidak pernah mengeluh ketika diuji mahupun ketika sakit sehingga orang yang menjaganya tidak merasa tertekan atau susah.

“Saya tinggal dan belajar di pondok ini sejak usia 7 tahun bersama moyang dan nenek saya dahulu. Allahyarham sentiasa berpesan supaya saya dapat menjaga pondok, selain mengambil lebih ramai pelajar untuk mendalami ilmu agama di situ.

“Beliau juga sering menasihatkan saya supaya tidak sombong dan sentiasa merendah diri, Allahyarham seorang yang sangat penyayang termasuklah kepada haiwan,” katanya.

Leave a Reply