TOKOH ulama Kelantan, Tuan Guru Haji Wan Omar Wan Ismail dilaporkan telah meninggal dunia awal pagi tadi.
Allahyarham yang berusia 87 tahun menghembuskan nafasnya yang terakhir pada 4.30 pagi di kediamannya di Kampung Penambang, Kota Bharu.
Difahamkan, Allahyarham merupakan keturunan kelima tokoh ulama bersejarah Kelantan iaitu Tuan Guru Haji Abdul Samad Faqih Abdullah atau lebih dikenali sebagai Tok Pulai Chondong.
Semantara itu, penceramah terkenal Ustazah Asma’ Harun menyifatkan pemergian Allahyarham sebagai suatu kehilangan besar kepada umat Islam bukan saja di Kelantan, bahkan di persada dunia Islam khususnya rantau nusantara.
“Kehilangan beliau bukanlah kehilangan yang biasa, tetapi ia sungguh memberi kesan buat kita semua. Dunia bagaikan kehilangan permata ummah yang tiada gantinya,” tulisnya menerusi satu hantaran di Facebook.
Ketika hayatnya, Allahyarham Tuan Guru Haji Wan Omar sempat melazimi dan berguru dengan ramai alim ulama di Mekah termasuklah Syeikh Sayyid Muhammad Amin al-Kutbi, Syeikh Sayyid ‘Alawi al-Maliki, Syeikh Hasan Masyath al-Makki, dan Syeikh Abdul Qadir al-Mandili.
Semoga roh Allahyarham ditempatkan bersama orang-orang yang beriman dan beramal soleh.
Al-Fatihah..
Leave a Reply