PETALING JAYA – “Saya yakin Siti Sarah kuat, saya yakin Siti Sarah akan balik ke rumah ini.”
Itu doa dan harapan tinggi pelawak Shuib Sepahtu terhadap kesembuhan isterinya, penyanyi Siti Sarah Raisuddin yang kini sedang bertarung nyawa akibat Covid-19 di Unit Rawatan Rapi, Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia.
Berita berkaitan: Enam hari positif Covid-19, Siti Sarah, keluarga okey, tiada simptom teruk
“Teruskan berdoa untuk Siti Sarah, untuk anak dan keluarga. Teruskan berdoa untuk semua orang dan tolong jangan lupa selitkan nama Sarah dalam doa semua,” begitulah kata-kata meruntun hati Shuib usai majlis bacaan Yassin secara maya sebentar tadi.
Shuib atas nama sebenarnya Shahmira Muhamad, 37, juga memohon semua orang agar memaafkan Siti Sarah seandainya ada menyakiti hati mana-mana pihak selama ini, menghalalkan makan minum dan dipermudahkan segala urusan penyembuhan berdepan kesulitan yang dialami.
“Saya minta maaf sekiranya Siti Sarah ada menyakiti sesiapa, halalkan makan minumnya dan doakan agar dipermudahkan perjalanannya,” ucap Shuib dalam nada sebak.
Petang tadi, Siti Sarah yang dikomakan kerana tekanan oksigen yang semakin rendah selamat melahirkan seorang bayi lelaki secara pembedahan.
Biarpun dilahirkan pra matang dan menggunakan bantuan pernafasan, bayinya berada dalam keadaan stabil.
Keadaan Sarah bagaimanapun dimaklumkan kritikal setelah bersalin.
Meluahkan isi hatinya, Shui berkata sepanjang 10 tahun menikahi penyanyi lagu Kesetiaan tu juga menjadi orang yang telah banyak mengubah dirinya menjadi siapa Shuib yang dikenali hari ini.
“Malam ini mengajar saya banyak perkara, Allah ajar saya untuk reda yang paling reda. Ya, saya dah reda. Apa sahaja keadaan selepas ini saya akan reda. Allah telah banyak uji kami, dari tahun pertama kahwin sampai sekarang,Allah memang hantar dia untuk baiki hidup saya.
“Tolong doakan dia.Tolong doakan anak saya juga yang berada di hospital,” kata Shuib.
Dalam keadaan sayu, Shuib mengakui, isterinya sudah memilih nama untuk bayi mereka yang berkemungkinan akan terus berada dalam pengawasan pihak hospital selama dua bulan selepas ini.
“Dia yang nak sangat anak kami dinamakan Ayash Affan. Doakan Ayash Affan jadi anak yang soleh, doakan dia kuat untuk bertahan dalam masa dua bulan ini,” ujar Shuib sambil berterima kasih kepada semua pihak yang banyak membantu dan mendoakan kesembuhan keluarganya selama diuji dengan Covid-19.
Sementara itu majlis bacaan Yassin malam ini turut disertai oleh Datuk Dr. Mohd Fadzillah Kamsah, Ustaz Ahmad Salahuddin Harun serta rakan-rakan artis antaranya Lah Ahmad, Bob Yusof dan Liza Hanim. – K! ONLINE
Leave a Reply