SEORANG calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 meninggal dunia ketika tidur, awal pagi semalam.
Kematian Tuan Amirah Sakinah Tuan Rohaizad, 18, yang juga pelajar Maahad Saniah, Pasir Puteh, Kelantan disedari ahli keluarganya pada 5.30 pagi ketika mereka bangun untuk mengerjakan solat Subuh.
Pemergian arwah secara tiba-tiba mengejutkan bukan sahaja keluarga dan saudara-mara, malah kenalan terdekatnya kerana arwah disifatkan sebagai ceria dan suka menolong orang lain.
“Dukacita dimaklumkan anak saudara tercinta Amirah Sakinah, anakanda kepada Tuan Rohaizat dan adindaku Noraini Daud telah kembali ke rahmatullah pagi ini.
“Moga Allah ampuni dia, rahmati dia, maafkan dia, muliakan kematian dia, dan lapangkan kubur dia. Jadikanlah syurga sebagai ganti tempat tinggal dia dan berilah kesabaran kepada ahli keluarganya.
“Semoga dia ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman,” kata ibu saudara arwah yang dikenali sebagai Rokiah Daud.
Menurut Rokiah, mayat Amirah telah dibawa ke Hospital Tengku Anis bagi menjalani ujian saringan Covid-19 sebelum diserahkan kepada ahli keluarga untuk dikebumikan pada jam 10 malam hari yang sama.
Leave a Reply