Berita Utama

Tuduh anggota polis tak solat, Asri Janggut dipanggil ke Bukit Aman

KUALA LUMPUR – Polis membuka dua kertas siasatan terhadap pengasas Hot Burger Malaysia, Mohd Asri Hamid selepas menerima dua laporan berhubung kenyataannya yang dianggap menghina Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Timbalan Pengarah (Siasatan/Perundangan) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Deputi Komisioner Mior Faridalathrash Wahid ketika mengesahkan perkara itu berkata, siasatan dijalankan susulan laporan yang diterima pihaknya.

“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 505 (c) Kanun Keseksaan kerana kenyataan yang mendatangkan khianat awam dan Seksyen 233 Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM).

“Kertas siasatan itu dibuka susulan laporan polis yang dibuat di Balai Polis Travers dan Balai Polis Jalan Tun Razak, hari ini,” katanya ketika dihubungi.

Mior berkata, Asri akan dipanggil untuk diambil keterangannya dalam masa terdekat oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) JSJ.

“Kita akan panggil dia dalam minggu ini,” katanya.

Terdahulu, tular satu klip video memaparkan kenyataan dibuat Mohd Asri atau dikenali sebagai Asri Janggut yang mendakwa petugas dua pasukan keselamatan itu tidak menunaikan solat serta merokok.

Asri sudah minta maaf

Sebelum itu, Mohd Asri telah tampil menyatakan permohonan maaf atas keterlajurannya menghina pasukan beruniform di negara ini.

Mohd Asri melalui laman Facebook menyifatkan kenyataannya sebelum ini disebabkan ketelanjuran dan kejahilan.

“Bismillah, assalammualaikum semua. Saya memohon maaf atas kesilapan dan ketelanjuran saya, saya benar-benar rasa bersalah atas perkara tersebut.

“Saya akui kesilapan saya ini. Maafkan saya atas kejahilan saya,” katanya sebentar tadi.

Loading...

Leave a Reply