Berita Utama

Tujuh individu gagal cabar larangan merokok di premis makan

Awal tahun lalu, tujuh individu mencabar keputusan Kementerian Kesihatan Malaysia menguatkuasakan larang merokok di semua premis makan.

Nampaknya, keputusan berkaitan perkara itu telah pun diputuskan oleh Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur hari ini.

Memetik laporan Harian Metro, mahkamah memutuskan bahawa dakwaan perokok berhubung hak mereka terhakis kerana keputusan KKM mewartakan semua tempat makan sebagai kawasan larangan merokok adalah tidak berasas.

Hakim Datuk Seri Mariana Yahya berkata keputusan itu dibuat selepas meneliti semua dokumen dan hujah kedua-dua pihak dan beliau berpuas hati bahawa tindakan Kementerian Kesihatan itu tidak melanggar Perkara 5 dan 8 Perlembagaan Persekutuan.

Penggunaan Perkara 5 Perlembagaan Persekutuan berhubung hak asasi yang dijamin tidak boleh disamakan dengan hak merokok.

Beliau juga merujuk kepada Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan berhubung hak sama rata dan hak perlindungan yang dikemukakan oleh pihak pemohon yang mendakwa mereka mempunyai hak yang sama dengan golongan tidak merokok.

Pada 29 Januari lalu, tujuh individu mendapat kebenaran di Mahkamah Tinggi untuk memulakan prosiding semakan kehakiman bagi mencabar keputusan Kementerian Kesihatan yang mewartakan semua tempat makan sebagai kawasan larangan merokok bermula awal Januari lalu.

Loading...

Leave a Reply