Berita Utama

Tujuh lelaki termasuk ‘abam botak’ direman 3 hari halang tugas polis

GEORGETOWN: Tujuh individu direman tiga hari bermula hari ini bagi membantu siasatan berhubung provokasi susulan kemalangan membabitkan dua lelaki menaiki sebuah motosikal yang berlanggar dengan sebuah kereta di persimpangan lampu isyarat Tanjung Tokong, di sini, kelmarin.

Perintah reman hingga 21 Januari itu dikeluarkan Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Sesyen/Majistret Georgetown, Nur Fadrina Zulkhairi.

Mereka berusia antara 23 hingga 45 tahun disiasat mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas, selain Seksyen 506 kanun sama kerana melakukan ugutan jenayah.

Semua lelaki terbabit turut disiasat mengikut Peraturan 16 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan (Kawalan Pergerakan) 2021.

Mereka ditahan di sekitar Jalan Patani dan Tanjong Tokong di sini, semalam.

Pemandu kenderaan terbabit dalam nahas itu dalam laporan polis, mendakwa motosikal dinaiki dua lelaki tanpa memakai topi keledar berlanggar dengan keretanya selepas melanggar lampu isyarat.

Dua lelaki berkenaan ketika itu didakwa melarikan diri daripada anggota polis Unit Rondaan Bersepadu (URB) yang membuat rondaan.

Sekumpulan lelaki lain turut ke lokasi insiden dan didakwa mencetuskan provokasi terhadap anggota polis, termasuk menuduh anggota polis menendang motosikal dinaiki dua lelaki berkenaan sehingga menyebabkan kemalangan.

Video dan gambar insiden itu turut tular di media sosial yang mengundang pelbagai komen daripada warganet.

Sehubungan itu, polis turut menyiasat hantaran di dalam media sosial (Facebook dan WhatsApp) yang didapati tidak tepat dan berbaur fitnah mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.

Loading...

Leave a Reply

error: Content is protected !!