Blog Berita Online

Berita Utama

Tukang kebun meninggal dunia ketika membaca al-Quran di masjid

SUNGAI PETANI: Seorang tukang kebun ditemukan meninggal dunia di ruang solat Masjid Nurul Hasanah di Bukit Kechil Simpor, Tikam Batu di sini pagi semalam.

Lelaki berusia 54 tahun itu ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri oleh kakitangan masjid sebelum memaklumkan kejadian kepada ahli keluarganya kira-kira pukul 7 pagi.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, saksi kejadian memaklumkan mangsa membaca al-Quran selepas menunaikan solat Subuh.

“Mangsa kemudian dilihat dalam keadaan terbaring dan tidak sedarkan diri,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Katanya, pihak masjid seterusnya menghubungi ambulans dan mangsa disahkan telah meninggal dunia.

“Isteri mangsa memaklumkan suaminya menghidap penyakit darah tinggi dan tidak mendapatkan rawatan di pusat kesihatan serta hanya bergantung ubat dari farmasi,” jelasnya.

Tambahnya, pemeriksaan ke atas mayat mangsa mendapati tiada kesan luka, lebam atau sebarang unsur jenayah.

“Kes setakat ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan mayat mangsa dibawa ke Hospital Sultan Abdul Halim di sini untuk bedah siasat,” katanya.

Leave a Reply