Blog Berita Online

Berita Utama

Tunggu ibu tak kunjung tiba, rupanya maut kemalangan

SUNGAI PETANI – Gelisah seorang anak terpaksa menunggu lebih sejam tidak dijemput ibu sebaik sesi persekolahan tamat rupanya membawa khabar duka apabila ibu kesayangannya terlibat kemalangan maut, Rabu lalu.

Siti Rohmah Hayati Ahmad Hazli, 15, pelajar tingkatan tiga Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Teluk Bayu berkata, dia tidak senang duduk apabila ibunya, Habakhozah Azmi, 46, tidak muncul di sekolah ketika waktu pulang pada pukul 1.45 petang.

“Biasanya setiap hari ibu datang awal untuk jemput saya, tetapi hari itu kelibatnya tidak kelihatan. Ketika tunggu lebih satu jam itu saya tak senang duduk memikirkan pelbagai kemungkinan berlaku kepada ibu,” katanya ketika ditemui di Kampung Perlis, Simpor semalam.

Menurut Siti Rohmah, berita sedih kehilangan ibunya itu hanya diketahui melalui ibu saudaranya, Faezah Azmi, 50, ketika menjemputnya di sekolah hampir pukul 3 petang pada hari kejadian.

“Selama ini ibu hantar dan jemput kami tiga beradik ke sekolah dan saya sedih kerana pemergian ibu ketika hendak ambil saya pulang. Kematian ibu menyebabkan saya cukup terasa kehilangannya kerana selain titik beratkan pelajaran ibu juga seorang yang penyayang,” katanya.

Selain Siti Rohmah, dua adiknya yang masih bersekolah ialah Siti Rahmah Bayati, 12, dan Ahmad Amar Aiman, 8, yang masing-masing bersekolah di Sekolah Kebangsaan (SK) Darul Aman.

Abang sulungnya, Ahmad Amirul Ashrass, 25, bekerja sebagai tukang rumah dan abang keduanya Ahmad Ayzam Amirullah, 21, pula bekerja di sebuah kilang di Pulau Pinang.

Sementara itu, suami kepada Habakhozah, Ahmad Hazli Hassan, 45, berharap pemandu yang terlibat dalam kejadian itu menerima hukuman setimpal mengikut undang-undang.

“Walaupun reda dengan kematiannya tetapi kami sedih kerana cara kematiannya cukup tragis. Suspek sanggup larikan diri dan tidak langsung membantu isteri saya ketika kejadian dan ini yang buatkan kami sekeluarga tidak dapat memaafkannya,” katanya yang turut bekerja di sebuah kilang di Pulau Pinang.

Akhbar ini kelmarin melaporkan, seorang suri rumah maut di lokasi kejadian selepas motosikal Honda EX5 ditunggangnya dirempuh sebuah kereta dari arah belakang dalam kejadian di Jalan Bukit Kechil, Tikam Batu di sini.

Selain dirempuh, mangsa juga turut digilis oleh kereta Honda Civic yang dipandu laju seorang lelaki berusia 23 tahun menyebabkan dia cedera parah di bahagian kepala.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, pemandu yang melanggar mangsa telah ditahan pada pukul 9.15 malam hari sama oleh anggota Balai Polis Tikam Batu.

“Dia mengaku melanggar mangsa dan melarikan diri kerana takut dan kini dalam proses untuk dituduh di mahkamah di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya. – UTUSAN

Leave a Reply