Politik

TYT perkenan bubar DUN Sabah, PRN dalam tempoh 60 hari

KETUA Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, hari ini, memaklumkan Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin memperkenankan permohonannya untuk pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah.

Beliau berkata, sehubungan itu, pilihan raya negeri akan diadakan dalam tempoh 60 hari.

Mohd Shafie membuat pengumuman berkenaan pada sidang media khas di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah di Kota Kinabalu.

“Rakyat Sabah yang menentukan kerajaan Sabah,” katanya.

Terdahulu, Mohd Shafie mengadap Tun Juhar di Istana Negeri dan kenderaan yang membawa ketua menteri itu dilihat memasuki perkarangan istana pada jam 8.25 pagi.

Musa Aman dakwa dapat sokongan majoriti bentuk Kerajaan Sabah baharu

KOTA KINABALU: Bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman mendedahkan mempunyai jumlah wakil rakyat yang cukup untuk membentuk sebuah kerajaan baharu di negeri itu

Dalam sidang media tergempar yang dibuat di rumahnya sebentar tadi, Musa berkata, pihaknya akan membentuk gabungan baharu yang menyokong Perikatan Nasional (PN).

Tambahnya, kumpulan yang diketuainya akan bergerak ke Istana Negeri untuk mengemukakan Surat Akuan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang akan ditandatangani dalam tempoh terdekat.

“Kita telah memperolehi majoriti mudah dan akan membentuk kerajaan baharu.

“Satu gabungan baharu ini akan mengadap Tuan Yang Terutama (TYT),” katanya.

Antara ADUN dari parti pemerintah yang berada di rumah Musa sebentar tadi adalah Datuk Hamis Samad (Tanjung Batu), Datuk Osman Jamal (Balung), Kenny Chua (Inanam), Datuk Muis Picho (Sebatik) dan Datuk Bolkiah Ismail (Pitas).

Jelasnya lagi, gabungan itu merangkumi ADUN daripada pelbagai parti.

“Saya juga ingin memaklumkan yang Menteri Keselamatan dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin dan Datuk Nardin, Setiausaha Politik kepada PM telah membuat Kunjungan Hormat kepada Tuan Yang Terutama pagi tadi untuk memaklumkan gabungan baru yang menyokong Perikatan Nasional di bawah kepimpinan Perdana Menteri YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin telah memperolehi sokongan majoriti untuk membentuk kerajaan baru,” katanya.

Loading...

Leave a Reply

error: Content is protected !!