Berita Utama

Uniknya Tun Malaysia dan Tun Mardeka

SHAH ALAM – Tidak mudah untuk gadis remaja membesar dengan nama yang cukup unik serta istimewa, namun itulah pahit manis yang dilalui oleh dua beradik yang diberi nama Malaysia dan Mardeka hasil semangat patriotik kedua ibu bapa mereka.

Bertugas sebagai seorang pengurus bank, Tun Malaysia Venecia Zaman Riera, 24, berkata, nama yang dimilikinya mempunyai impak yang besar dalam dirinya kerana sering diejek sewaktu zaman persekolahan, namun ia menerapkan semangat patriotik di samping identiti diri yang istimewa baginya.

Kongsi Tun Malaysia, beliau merupakan anak keempat daripada enam adik-beradik hasil perkahwinan campur bapanya seorang rakyat Malaysia, Tun Kamalul Zaman Abdul Jamal, 59, dengan ibunya wanita dari Venezuela, Victoria Margarita Riera Sanchez, 59.

Malah, lebih mencabar bagi Tun Malaysia kerana dia pada awalnya tidak fasih berbahasa Melayu kerana dilahirkan dan dibesarkan di Venezuela sehingga berumur empat tahun.

“Saya mula menetap di Malaysia ketika berumur sekitar empat tahun dan pada tahun pertama sesi persekolahan, ramai murid yang ‘terpegun’ dan pelik dengan nama saya. Tetapi ada juga yang mengejek saya setiap kali lagu Negaraku atau Merdeka dimainkan.

“Saya yang tidak fasih berbahasa Melayu ketika itu amat bingung dengan situasi tersebut kerana ketika saya menetap di Venezuela, saya berpendapat bahawa Malaysia hanyalah sebuah nama dan tidak ada maksud tertentu.

“Namun, apabila berpindah di negara ini, baru saya tahu Malaysia adalah nama sebuah negara yang saya sedang duduki. Oleh kerana itu, barulah saya mengerti mengapa saya diejek dengan slogan ‘Malaysia boleh’ atau ‘Cuti-cuti Malaysia’. Itu yang menjadi penyebab saya kerap menangis semasa pulang ke rumah,” katanya kepada Sinar Harian.

Walau bagaimanapun, kejadian tersebut telah menjadi pengajaran hidup serta mencorakkan keperibadian diri gadis yang fasih berbahasa Sepanyol itu.

“Walaupun ada orang yang akan mengejek atau memandang serong kerana keunikan nama tersebut, ada satu logo yang sentiasa memberi semangat kepada saya iaitu ‘Malaysia Boleh’.

“Saya selalu berfikiran positif dengan membalas balik dan berpegang kepada prinsip Malaysia boleh, kamu boleh ke?. Jadi ia memberi satu keyakinan kepada saya. Ibu bapa juga selalu menasihati saya bahawa nama Malaysia amat istimewa dan tidak ada ramai orang yang mampu memiliki nama tersebut,” katanya.

Tun Malaysia juga berkata, nama tersebut juga banyak memberi kenangan manis dan kelebihan kepada kehidupannya.

“Oleh kerana nama Malaysia, saya tidak mudah dilupai oleh orang. Contohnya, jika saya berjumpa dengan orang yang baru kenal, mereka akan ingat nama saya kerana Malaysia merupakan sebuah nama yang unik.

“Selain itu, saya juga mendapat beberapa liputan media terutamanya semasa musim kemerdekaan oleh kerana nama Malaysia dan saya makin dikenali ramai apabila pernah memasuki rancangan televisyen,” katanya.

Selain itu, Tun Malaysia yang juga merupakan darah keturunan pahlawan perak iaitu Megat Terawis membolehkannya untuk mewarisi panggilan ‘Tun’ manakala ‘Malaysia’ dan ‘Venecia’ adalah gabungan negara asal kedua ibu bapanya.

“Nama Tun merupakan gelaran yang diwarisi daripada bapa kepada anak mereka untuk keturunan kerabat Megat Terawis. Nama Malaysia pula diberi ketika ayah pulang ke Malaysia dan mendapat ilham dari poster gambaran Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah yang tertulis ‘Fascinating Malaysia’.

“Ibu saya yang mengandung ketika itu tertarik dengan perkataan tersebut dan ingin menamakan saya Malaysia. Venecia pula adalah nama lama negara asal ibu iaitu Venezuela maka terjadilah gabungan nama antara dua negara,” katanya.

Tambahnya, dia kini berasa amat bangga dengan namanya serta berpandangan bahawa Malaysia adalah nama terbaik yang diberikan kepadanya dan jika diberi peluang, beliau tidak akan mengubah nama istimewa tersebut kerana ia merupakan sebahagian daripada identiti dirinya.

Ilham nama di Muzium Negara Dalam pada itu, adik kepada Tun Malaysia iaitu Tun Mardeka Victoria Zaman Riera 20, berkata, dia juga tidak lari daripada mempunyai pengalaman diejek pada zaman sekolah namun dia amat menyukai nama Mardeka apabila sudah memahami maksud sebenar nama tersebut.

“Tidak dinafikan, saya juga pernah malu dengan nama tersebut semasa zaman sekolah rendah setiap kali musim kemerdekaan menjelma dan lagu Tanggal 31 dimainkan. Saya tidak pasti sama ada mereka nyanyi dengan bersemangat atas sifat patriotisme atau niat mengejek saya.

“Saya rasa pelik pada mulanya namun, akhirnya saya menyukai nama tersebut kerana ia kena dengan nama penuh saya.

Loading...

Leave a Reply

error: Content is protected !!