Berita Utama

Untung RM60 juta seludup 43,000 PATI di Johor

JOHOR BAHRU – Polis Johor melumpuh satu sindiket penyeludupan pendatang asing tanpa izin (PATI) antarabangsa, yang bergiat aktif di negeri ini dengan mengaut keuntungan lebih RM60.48 juta hasil menyeludup masuk dan keluar lebih 43,000 warga asing sejak 2014.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay, berkata sindiket penyeludupan PATI terancang itu tumpas hasil operasi serbuan berskala besar antara Khamis lalu hingga semalam.

Katanya, ia hasil serbuan dilakukan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kontinjen Johor dibantu D3 dan D14 Siasatan Jenayah Terancang, JSJ Bukit Aman.

“Hasil siri serbuan empat hari sehingga semalam itu, 40 ahli sindiket membabitkan 21 rakyat tempatan termasuk seorang wanita serta 19 warga Indonesia berusia antara 22 hingga 58 tahun berjaya ditahan.

“Hasil siasatan mendapati sindiket ini bergiat aktif dalam penyeludupan keluar masuk PATI di pesisiran Pantai Timur Johor sejak 2014 lagi.

“Sindiket berkenaan mengaut keuntungan sangat lumayan berikutan membawa masuk atau keluar kira-kira 600 PATI sejak 2014 dengan bayaran sehingga RM1,400 seorang.

“Ia bermakna sindiket ini menguruskan sejumlah 43,200 PATI sama ada masuk atau keluar secara haram dari negara ini dengan keuntungan melebihi RM60.48 juta, ” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, hari ini.

Mengulas lanjut, Ayob Khan berkata, ketua sindiket antarabangsa berkenaan dipercayai menguruskan kumpulan jenayah terancang itu dari Batam, Indonesia.

“Polis Johor akan mendapatkan kerjasama Polis Indonesia bagi mengesan ketua sindiket penyeludupan PATI berkenaan dalam masa terdekat.

“Sindiket ini merekrut pekerja mereka terutama penghubung (transporter) menerusi tapisan ketat sebelum diterima bekerja bagi mengelakkan jenayah mereka terbongkar dan dikesan pihak berkuasa.

“Enam dalang utama dalam sindiket jenayah terancang penyeludupan PATI ini membabitkan ketua sindiket,ejen/pengurus, penghubung (transporter), tekong darat,penjaga tempat penampungan atau penginapan dan tekong laut.

“Ejen, penghubung, tekong darat dan laut juga dipercayai mendapat komisen antara RM250 hingga RM350 setiap PATI,” katanya.

Ayob Khan berkata, 40 ahli sindiket yang ditahan itu membabitkan ejen (tiga), penghubung (10), tekong darat (15) dan penjaga rumah penampungan (12).

Katanya, turut dirampas dalam siri serbuan berkenaan adalah 16 kereta, sebuah van, lapan bot gentian dan 114 telefon bimbit.

“Kesemua suspek yang ditahan disiasat mengikut Seksyen 130V Jenayah Terancang Kanun Keseksaan dan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 SOSMA,” katanya.

Loading...

Leave a Reply