Ulama kelahiran Terengganu, Tuan Guru Abdullah Yusof atau dikenali sebagai Ustaz Loh Kemaman, meninggal dunia pagi semalam, pada usia 90 tahun.
Allahyarham menghembuskan nafas terakhir ketika menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Kemaman akibat serangan strok pada 10 Mac lalu.
Perkara itu dimaklumkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri menerusi Facebook beliau, semalam.
“Menerima berita pemergian salah seorang guru saya, Ustaz Loh Kemaman. Teringat kali terakhir saya menziarahi beliau sekitar tahun 2018 atau 2019.
“Semoga keluargnya dikurniakan ketabahan dan kesabaran atas pemergian insan yang dikasihi,” katanya dalam hantaran tersebut.
Dr Zulkifli berkata, Allahyarham merupakan seorang guru yang alim dan sangat tawaduk.
Katanya, Allahyarham menguasai pelbagi cabang ilmu Islam yang menjadikan beliau antara tokoh ulama yang disegani di Terengganu.
Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya dan ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman. Al-Fatihah.
Leave a Reply