Berita Utama

Ustaz Ebit sewa dua lori besar bawa air buat penduduk Selangor

Masalah air bukanlah satu perkara baru di Selangor. Boleh dikatakan hampir setiap bulan akan berlakunya masalah gangguan air sehingga kerap kali menyukarkan orang ramai untuk menjalankan aktiviti harian.

Bukan itu sahaja, ia menjadi lebih teruk berikutan negeri Selangor kini sedang menjalani Perintah Kawalan Pergerakkan Bersasar (PKPB) bagi membendung penularan wabak pandemik Covid-19.

Keadaan tersebut menyebabkan pendakwah terkenal Ustaz Ebit Lew terpanggil untuk memberikan bantuan kepada sebahagian penduduk yang terjejas akibat daripada masalah tersebut.

Menerusi posting di laman Facebook, beliau memaklumkan telah menyewa dua lori besar bagi kegunaan mengangkut air untuk diagihkan kepada penduduk di kawasan terjejas antaranya di Pinggiran Batu Caves, Gombak.

Menurut Ustaz Ebit, urusan mengagihkan air telah dilakukan sejak jam 10 malam sehingga subuh bagi memastikan penduduk sekurang-kurangnya mendapat bekalan air.

Tambahnya, melihat keadaan orang yang sudah berusia mahu mendapatkan air membuatkan dirinya berasa sayu dan meminta pembantunya menolong warga emas mengangkat air untuk dibawa ke kediaman masing-masing.

Sementara itu, rata-rata netizen telah meninggalkan komen dengan meluahkan rasa terharu atas keprihatinan yang ditunjukkan pendakwah berkenaan.

Mereka juga tidak lepas mendoakan agar Ebit terus dimurahkan rezeki dan diberi kesihatan yang baik agar dapat membantu orang ramai lagi.

Loading...

Leave a Reply