Berita Utama

Ustaz Ebit tunai janji sewa bas hantar pelajar terkandas balik kampung

Siang tadi, pendakwah terkenal Ustaz Ebit Lew menawarkan bantuan untuk menghantar mana-mana pelajar yang terkandas di universiti pulang ke kampung halaman masing-masing.

Dalam perkongsian terbaharu beliau di Facebook mendapati Ustaz Ebit telah menyewa sebuah bas persiaran untuk membawa pulang pelajar-pelajar berkenaan.

“Sayu ramai pelajar mesej saya dari pelbagai universiti. Disebabkan keadaan semasa yang kelas ditukar semula kepada online. Ramai juga yang baru daftar. Sayu dan kasihan sangat pada mereka semua,” kata beliau.

Pada malam ini, beliau menyediakan bas secara percuma kepada pelajar UPSI untuk pulang ke Pantai Timur dan beliau akan mengaturkan pula perjalanan pelajar dari UiTM, UTHM, dan banyak lagi.

“Merekalah pemimpin masa depan. Macam anak kita sendiri. Saya tolong sewakan bas bagi free untuk mereka. Banyak pelajar yang DM saya.

“Yelah keadaan semasa negara Covid-19 meningkat dan membimbangkan. Semoga Allah mudahkan dan selamatkan perjalanan adik-adik.

“Syukur dapat beri motivasi dan semangat pada pelajar dalam bas yang bergerak tadi. Teringat dulu masa susah di universiti,” katanya.

Terdahulu, Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Dr Noraini Ahmad telah membuat permohonan maaf terhadap kesulitan yang dihadapi para pelajar institusi pengajian tinggi (IPT).

Menerusi kenyataan di Facebook, beliau mengambil maklum rintihan dan keluhan pelajar serta ahli keluarga mereka susulan keputusan pihak IPT menangguhkan pendaftaran fizikal.

“Saya berharap pihak IPT dapat bersikap wajar, bertimbang rasa dan munasabah dalam menguruskan segala hal yang berbangkit berhubung penangguhan ini.

“Kepada pelajar yang sudah tiba, boleh terus kekal di kampus dan nantikan arahan seterusnya oleh pihak universiti.

“Kepada pelajar yang masih lagi di kediaman atau kampung halaman masing-masing, saya mohon untuk tangguhkan dulu seketika pergerakan untuk pulang ke universiti.

“Akhir sekali, saya ingin memohon maaf atas segala kesulitan yang timbul dan berharap kita dapat bersama-sama membendung penularan wabak COVID-19 ini,” katanya.

Loading...

Leave a Reply

error: Content is protected !!