CHUKAI – Seorang pendakwah bebas maut selepas motosikal berkuasa tinggi yang ditungganginya terbabit dalam kemalangan dengan sebuah kereta di Kilometer 119, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan, dekat Kompleks Operasi PETRONAS Kemaman, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira jam 1 tengah hari, Mohd Najib Ali@Awang, 52, yang parah di kepala disahkan meninggal di tempat kejadian.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan, berkata mangsa menunggang motosikal ke Kerteh.
Menurutnya, sebaik tiba di lokasi kejadian, kereta dipandu seorang wanita berusia 46 tahun dari arah bertentangan membuat pusingan U secara mengejut.
“Mohd Najib gagal membrek dan mengelak, sebelum merempuh kereta terbabit.
“Rempuhan kuat itu menyebabkan mangsa tercampak kira-kira 20 meter sebelum disahkan meninggal di tempat kejadian oleh pegawai perubatan,” katanya.
Hanyan berkata, pemandu kereta cedera di leher.
“Mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Kemaman untuk rawatan lanjut, sementara mayat mangsa dibawa ke Jabatan Forensik hospital sama.
“Kes berkenaan disiasat mengikut seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
MOHD SALLEH
Semuga Allah mengampuni segala dosa-dosa Ustaz Najib Ali dan memasukan Almarhum ke dalam syurga dengan rahmatNya. Semuga ilmu-ilmu yang disampaikan selama ini menjadi ilmu yang akan dimunafaatkan oleh pendengar2nya dan menjadi asbab pahala mengalir kepada Almarhum sepanjang masa.