KUALA LUMPUR – “Saya selalu ingatkan diri sendiri walaupun susah, akan ada lagi orang yang lebih susah dan harus bersyukur,” kata Muhammad Aidil Fikri Putera Aminuddin, 22.
Muhammad Aidil Fikri mengakui kehilangan lima ahli keluarga serentak termasuk ibu dan bapanya yang terbabit dalam kemalangan 18 tahun lalu apabila kereta dinaiki mereka bertembung lori dalam kejadian di Kuala Kubu Bharu memberi impak besar dalam kehidupannya.
Katanya, dia kini hidup bersama kakak dan neneknya yang membesarkannya selepas tragedi berkenaan.
“Meskipun membesar tanpa ibu bapa tersayang, saya atasi rasa kehilangan dengan sentiasa mensyukuri apa yang ada.
“Saya selalu ingatkan diri walaupun susah, akan ada lagi orang yang lebih susah dan harus bersyukur,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Untuk rekod, ketika kejadian meragut nyawa lima keluarganya, Muhammad Aidil Fikri ketika itu berusia empat tahun. Dia antara salah seorang mangsa nahas yang terselamat dalam kemalangan berkenaan.
Mengulas lanjut, Muhammad Aidil Fikri berkata, dia dibesarkan nenek sehingga berusia 12 tahun dan tinggal bersama saudara selama dua tahun iaitu ketika berumur 13 hingga 14 tahun.
“Pada usia 15 tahun saya kembali tinggal bersama nenek kerana saudara saya semuanya perempuan,” katanya.
Dia yang kini bekerja sebagai pereka grafik di salah sebuah syarikat di ibu kota berkata, kemalangan jiwa yang mengakibatkan kematian lima ahli keluarganya menyebabkannya trauma.
“Saya jadi takut untuk memandu (kenderaan) dan tak yakin. Bukan itu sahaja, saya juga risau sekiranya saya menjadi punca kemalangan,” katanya.
Mengimbas kembali detik tragedi itu, Muhammad Aidil Fikri berkata, sehingga kini dia masih lagi terkenang bagaimana dirinya diangkat ke dalam ambulans dalam keadaan badan dipenuhi minyak dan batu.
“Saya orang yang jarang bersedih namun kadang-kala terlalu rindu (ahli keluarga) kerana sentiasa bersendirian.
“Kemana-mana saya pergi bersendirian kerana nenek sudah lanjut usia. Apabila lihat keluarga orang lain, saya jadi rindu (keluarga sendiri).
“Namun, nenek buat saya jadi lebih kuat dan sentiasa berpesan kalau rindu, banyakkan berdoa untuk mereka dan menziarahi (kubur) mereka,” katanya.
Leave a Reply