Berita Utama

Wanita suka bersolek tebal miliki IQ rendah, kata kajian

KUALA LUMPUR: Benarkah wanita suka bersolek mempunyai kecerdasan minda (IQ) lebih rendah berbanding mereka yang menghargai wajah semula jadi?

Terdapat pendedahan pakar perubatan bahawa individu yang suka menghiaskan diri dengan kosmetik, berisiko mengalami masalah IQ selain emosi.

Perkara itu diakui pakar toksikologi, Prof Madya Dr. Mohd. Hasni Jaafar berdasarkan bukti-bukti klinikal.

Beliau yang berkhidmat di Jabatan Kesihatan Masyarakat Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) berkata, perkara itu dibuat kajian, dibuktikan dan ditulis dalam banyak jurnal kesihatan antarabangsa.

Beliau turut menyatakan pemerhatiannya terhadap segelintir doktor-doktor pelatih wanita yang mengalami masalah IQ sewaktu menjalani latihan klinikal di PPUKM dan boleh berlaku kepada mahasiswa dalam jurusan lain.

“Logam berat seperti merkuri boleh memasuki otak. Bahan kimia seperti merkuri sememangnya boleh mengganggu otak untuk pembelajaran.

“Contohnya, jika doktor pelatih berjaya mendapat purata nilai gred kumulatif 4.00 sewaktu dua tahun pertama pengajian, apabila sampai latihan klinikal di hospital-hospital di tahun ketiga, mereka mempunyai masalah dan tidak mencapai taraf seperti yang dicapai di dewan kuliah.

“Daripada 120 pelatih perubatan, 10 peratus daripada mereka tidak menunjukkan prestasi baik dalam latihan klinikal.

“Sepatutnya, latihan klinikal lebih mudah berdasarkan teori-teori dipelajari sepanjang dua tahun pertama pengajian. Saya tidak menolak kemungkinan ia disebabkan oleh penggunaan kosmetik yang berlebihan,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di pejabatnya di sini.

Beliau diminta mengulas isu pemakaian alat solek yang tidak berdaftar dengan Kementerian Kesihatan dan dijual secara meluas di media-media sosial.

Bagaimanapun, Mohd. Hasni berkata, faktor-faktor lain yang boleh merencatkan IQ dan emosi seseorang juga boleh berpunca daripada masalah kejutan budaya, keluarga dan persekitaran.

Beliau mencadangkan semua wanita supaya mengambil makanan bernutrisi selain menjaga kebersihan diri.

“Alat solek juga perlu dicuci dan tidak boleh dibiarkan semalaman supaya bahan kimia tidak meresap ke dalam kulit, seterusnya mencemari organ dalaman lain dan juga otak,” katanya.

Loading...

Leave a Reply