Blog Berita Online

Berita Utama

Pilu, dua beranak meninggal dunia selang 12 jam

TAPAH: Seorang lelaki warga emas meninggal dunia selang 12 jam selepas anak lelakinya menghembus nafas terakhir di rumah mereka di Kampung Baru Temoh Stesen, Temoh di sini semalam.

Hasbollah Ahmad, 75, meninggal dunia pada pukul 10 malam selepas kematian anaknya, Zulfahmi, 46, pada pukul 10.50 pagi hari sama.

Difahamkan, Hasbollah yang mengalami strok turut menghidap beberapa penyakit lain seperti darah tinggi dan kencing manis, sempat dimandikan anaknya yang meninggal dunia itu.

Ketua Polis Daerah, Superintenden Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, awalnya polis menerima maklumat berhubung seorang lelaki berusia 46 tahun ditemukan tidak sedarkan diri di luar bilik air rumahnya.

Katanya, pemeriksaan mendapati lelaki itu meninggal dunia dan mayatnya dibawa ke Hospital Tapah untuk bedah siasat

“Siasatan awal mendapati lelaki terbabit menghidap penyakit kencing manis, saluran jantung tersumbat dan darah tinggi selain pernah menerima rawatan susulan di Klinik Kesihatan Kampar.

“Pemeriksaan pada badan lelaki itu tidak menemukan sebarang unsur jenayah dan dia tiada sejarah perjalanan ke lokasi lain dalam tempoh sebulan lepas,” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, pada sebelah malamnya pula, polis menerima maklumat kematian bapa lelaki berkenaan pada pukul 10 malam.

Katanya, bapa mangsa disahkan meninggal dunia akibat kompilasi penyakit yang dialaminya.

“Kedua-dua kes ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.

Bakti anak hingga ke akhir hayat

“Abang memang sayangkan ayah. Dia sangat mengambil berat dan teliti menjaga arwah bapanya.”

Demikian kata Nor Azlina Jawahir, 42, isteri arwah Zulfahmi Hasbollah, 46, yang meninggal dunia sebelum diikuti bapanya, Hasbollah Ahmad, 75, yang menghembuskan nafas terakhir 12 jam kemudian pada pukul 10 malam kelmarin.

Menurut wanita itu, arwah suaminya ditemui tidak sedarkan diri semasa memandikan bapa mertuanya di bilik air rumah mereka pada pukul 10 pagi kelmarin.

Nor Azlina menyedari kejadian itu selepas terdengar bunyi objek terhempas dari bilik air sebelum melihat suaminya terduduk dalam keadaan kejang.

“Tangan arwah suami saya masih bersabun, saya yang panik cuba menepuk badan suami namun dia tidak memberikan sebarang reaksi.

“Saya menghubungi talian 999 dan mereka meminta saya memberikan bantuan pernafasan sementara ambulans sampai, namun tiada tindak balas daripadanya,” katanya ketika ditemui di rumahnya semalam.

Menurut Nor Azlina, semasa dia melakukan bantuan pernafasan itu, bapa mertuanya yang duduk di kerusi di belakangnya tiba-tiba jatuh tersembam menyebabkan luka di muka selain patah hidung.

Hasbollah kemudian dikejarkan ke Hospital Tapah untuk rawatan, manakala Zulfahmi disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan yang tiba di rumah.

Warga emas itu dibenarkan pulang ke rumah bagaimanapun keadaan kesihatannya mula merosot pada pukul 4 petang.

“Pada mulanya kami sangka dia (Hasbollah) penat sebelum muntah. Sebelum pergi, kami beritahu abang (Zulfahmi) sudah tiada, air matanya mengalir,” katanya.

Zulfahmi mempunyai penyakit saluran jantung tersumbat, darah tinggi dan kencing manis.

Bedah siasat mendapati kematian lelaki itu akibat serangan jantung.

Dalam pada itu, Salasiah Yaacob, 64, reda dengan pemergian arwah suami serta anaknya itu dan menganggap ia sebagai ketentuan Allah.

Leave a Reply