BEKAS penyelia penerbitan radio Klasik dan penerbit drama Radio Televisyen Malaysia (RTM) yang disegani, Zuraidah Mohd Noh, 61, menghembuskan nafas terakhir selepas beberapa hari kritikal di sebuah hospital di Shah Alam, jam 9 malam, semalam.
Pemergian arwah ternyata satu kehilangan besar buat industri hiburan tempatan dan ditangisi kebanyakan artis termasuk Azhan Rani, Darling Ngasri, Sheera Iskandar, Catriona Ross, Mardiana Alwi, Ika Nabella dan ramai lagi.
Menurut Azhan, Allahyarhamah Zuraidah adalah antara individu paling berjasa kepadanya sejak menceburi bidang lakonan dan turut bersedih dengan pemergiannya itu.
“Buat yang mengenali salah seorang insan yang banyak berjasa dalam perjalanan karier diri ini, mohon doakan semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya. Zuraidah Mohd Noh, bekas penerbit drama radio RTM yang dijemput Ilahi meninggalkan kita semua, jam 9 malam.
“Keletah, bebel, nasihat akak yang tak pernah putus pada saya akan dirindui. Orang pertama yang percaya diri saya untuk jadi pelakon drama radio sejak 2004 lagi. Semoga Allah memberikan kekuatan buat ahli keluarga arwah dan semoga diampunkan segala dosa dan ditempatkan bersama orang-orang yang beriman,” katanya.
Zuraidah memulakan khidmatnya bersama RTM sekitar 1980-an dan baharu saja bersara pada tahun lalu. Arwah adalah antara individu penting yang teguh membangunkan industri penerbitan drama radio.
Beliau begitu mempertahankan drama radio yang sudah menjadi antara warisan berharga di RTM. Alasan stesen radio lain tidak menerbitkan drama radio tidak mematahkan semangatnya untuk terus menyiarkan drama di radio hingga kini.
Leave a Reply