Berita Utama

100 kes baharu Covid-19 hari ini

PUTRAJAYA – Jumlah penularan Covid-19 melonjak kepada 100 kes hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Noor Hisham Abdullah berkata, penularan tertinggi dikesan di Lahad Datu dengan 62 kes daripada Kluster Benteng, Sabah.

“Daripada 100 kes baharu yang dilaporkan, 15 kes adalah kes import yang telah mendapat jangkitan di luar negara yang melibatkan dua warganegara Malaysia dan 13 bukan warganegara.

“85 kes adalah kes penularan di dalam negara yang melibatkan 55 warganegara Malaysia dan 30 bukan warganegara,” katanya dalam sidang media di KKM hari ini.

Lebihan 22 kes lagi direkodkan pada Kluster Sungai di Kedah dan penambahan satu kes di kluster terbabit di Perlis.

Daripada 15 kes import yang direkodkan hari ini, 11 kes melibatkan warganegara India, dua kes warganegara Indonesia, dan masing-masing satu kes bagi warganegara Pakistan dan Filipina.

Untuk rekod, kali terakhir positif Covid-19 berada di paras tiga angka adalah pada 4 Jun lalu dengan 277 kes.

Tiada pertambahan kes kematian berkaitan Covid-19 dilaporkan pada hari ini dan kekal sebanyak 128 kes.

Dalam pada itu, 12 kes yang telah pulih Covid-19 pada hari ini menjadikan jumlah keseluruhan pesakit sembuh sepenuhnya adalah sebanyak 9,136 kes. – MalaysiaGazette

Loading...

Leave a Reply

error: Content is protected !!