LANGKAWI: Seramai 13 pelajar dari sebuah sekolah menengah di sini yang ditahan selepas dipercayai terlibat dalam insiden pergaduhan dibebaskan dengan jaminan polis, hari ini.
Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari berkata, tindakan itu dilakukan selepas pelajar tingkatan empat terbabit ditahan semalam sebelum mengambil keterangan semua suspek.
Katanya, pergaduhan itu berlaku di dalam sebuah kelas di sekolah tersebut, kelmarin.
“Rakaman percakapan sudah selesai, pagi ini mereka dibebaskan dengan jaminan polis.
“Siasatan awal juga mendapati pergaduhan berpunca daripada ejek mengejek antara mangsa dan suspek,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Menurut Shariman, seramai 12 pelajar terbabit ditahan pada pukul 12.30 tengah hari semalam dan seorang lagi ditahan pada pukul 3 petang, hari sama.
Semalam, media melaporkan satu video menunjukkan sekumpulan pelajar bertindak membelasah seorang pelajar lain di dalam kelas di sebuah sekolah menengah.
Video berdurasi 25 saat itu juga menunjukkan mangsa terbaring di lantai akibat dipukul sebelum dibaling dengan meja tulis di kepalanya. – UTUSAN
Leave a Reply