MIRI – Dua anggota pasukan keselamatan yang dilaporkan hilang sejak pukul 8 malam semalam telah ditemui mati di Sungai Layun, sekitar pukul 3 petang tadi.
Difahamkan kedua-dua mangsa dikenal pasti sebagai Sarjan Simon Laja dari Pasukan Gerakan Am (PGA) dan Sarjan Kemiang dari Sabah-Sarawak Gas Pipeline (SSGP).
Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Aidi Ismail yang mengesahkan kejadian itu berkata, kejadian berlaku semasa pasukan yang terdiri daripada tujuh anggota PGA dan seorang petugas SSGP sedang menjalankan rondaan di hulu Baram.
“Pasukan tersebut sedang berehat di tebing Sungai Long Karangan apabila kejadian kepala air berlaku dan dua mangsa telah dihanyutkan oleh arus deras sekitar pukul 6.40 petang.
“Usaha mencari dibuat sejak pukul 8 malam semalam sehingga mangsa dijumpai di kawasan Sungai Layun kira-kira pada pukul 3 petang,” katanya ketika dihubungi Kosmo! menerusi aplikasi WhatsApp sebentar tadi.
Katanya lagi, mangsa yang dijumpai telah dibawa ke klinik Long Lama sebelum dihantar ke Hospital Miri untuk tindakan lanjut.
“Mereka disyaki lemas tetapi kena tunggu hasil bedah siasat mayat,” tambahnya. – K! ONLINE
Leave a Reply