Blog Berita Online

Berita Utama

2 tahun berlalu, keluarga terus menunggu keadilan buat arwah Adib

ALOR SETAR – Biarpun semalam genap dua tahun tragedi hitam menimpa anggota bomba, Muhammad Adib Mohd. Kassim, keluarganya mengakui kematian Allahyarham yang masih belum terbela sering mengundang ke­sedihan kepada mereka.

Bapa Allahyarham Muhammad Adib, Mohd. Kassim Abdul Hamid, 64, berkata, dia terutama isteri, Asma Aziz, 52, masih menaruh harapan tinggi agar penjenayah yang menyebabkan kematian anak mereka itu dibawa ke muka pengadilan de­ngan segera.

“Kerinduan dan kesedihan kami masih mendalam terhadap arwah. Bila rindu, hanya doa supaya kes ini segera menemui pe­ngakhiran dan penjenayah dibawa ke muka pengadilan.

“Walaupun sudah dua tahun berlalu kami masih mengharap dan akan terus mengharap,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.

Mohd. Kassim yang juga seorang pesawah dari Kampung Tebengau, Kuala Kedah turut melahirkan rasa tidak puas hati kerana tidak menerima sebarang maklum balas daripada pihak berkenaan susulan keputusan inkues kes Muhammad Adib sebelum ini.

“Sekarang kami masih me­nunggu apa tindakan pihak polis walaupun Mahkamah Koroner putuskan kematian Muhammad Adib akibat perbuatan jenayah oleh dua atau lebih individu tidak dikenali.

“Bukan itu sahaja mahkamah juga merumuskan kegagalan polis dan FRU (Pasukan Simpanan Persekutuan) mengawal rusuhan juga menjadi faktor kepada kematiannya.

“Peguam kami sudah minta polis segerakan siasatan tetapi sehingga sekarang kami masih menunggu,” katanya dengan nada sedih.

Bercerita lanjut, Mohd. Kassim memberitahu, walaupun terpaksa menunggu untuk tempoh lama keluarga akan berterusan berdoa dan berharap kematian anaknya akan mendapat pem­belaan suatu hari nanti.

Tambahnya, apabila perasaan rindu terhadap anak kedua daripa empat beradik itu, dia dan isteri akan menziarahi kubur Muhammad Adib.

“Selain itu gambar arwah jadi pengubat rindu di hati kami,” jelasnya.

Muhammad Adib, 24, yang bertugas sebagai anggota bantuan kecemasan Jabatan Bomba dan Penyelamat Subang Jaya, parah dalam rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Su­bang Jaya pada 27 November 2018 dan me­ninggal dunia di Institut Jantung Negara selepas 21 hari menerima rawatan.

Pada 27 September tahun lepas, Mahkamah Koroner Shah Alam memutuskan kematian Muhammad Adib, adalah akibat perbuatan jenayah yang dilakukan lebih dua atau tiga individu tidak diketahui.

Leave a Reply