Berita Utama

Gaza bermandi darah di akhir Ramadan, 20 termasuk kanak-kanak maut

SEKURANG-KURANGNYA 20 orang termasuk kanak-kanak terbunuh dalam serangan udara tentera rejim Zionis ke atas kedudukan pejuang Hamas di Semenanjung Gaza, semalam.

BBC melaporkan, serangan itu dilancarkan selepas pejuang Hamas melancarkan serangan roket ke atas Baitulmuqaddis.

Kematian penduduk Gaza itu disahkan Kementerian Kesihatan Palestin di Gaza sebagai tindak balas pejuang terhadap kekejaman polis Israel yang mengakibatkan ratusan penduduk Palestin cedera dalam pertempuran di Baitulmuqaddis semalam.

Di Baitulmuqaddis, serangan roket Hamas mengakibatkan Parlimen Israel dikosongkan ketika siren amaran dibunyikan.

Ketegangan antara Palestin dan Israel meningkat sejak beberapa hari lalu hingga mendorong pemimpin Hamas mengeluarkan amaran akan bertindak balas terhadap kekejaman polis Israel ke atas penduduk Palestin.

Jurucakap tentera Israel, Leftenan Kolonel Jonathan Conricus berkata, sekurang-kurangnya tiga pejuang Hamas berjaya dibunuh tentera rejim.

“Kami baru sahaja bermula dan saya ulang, baru bermula untuk menyerang kedudukan ketenteraan di Gaza,” katanya.

Jurucakap Hamas memberitahu BBC, seorang Komander Briged Izzedine al-Qassam, Mohammed Abdullah Fayyad terbunuh dalam serangan udara Israel.

Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu berkata, Hamas telah melampaui batas dan Israel akan bertindak balas dengan ‘kekuatan tentera’.

Sementara itu, Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Antony Blinken berkata, Hamas perlu segera menghentikan serangan roket dan menggesa kedua-dua pihak bertelagah meredakan ketegangan berlaku.

Keganasan di Baitulmuqaddis menjadi yang terburuk sejak beberapa tahun lalu apabila lebih 300 penduduk Palestin cedera dalam pertempuran dengan polis Israel di luar Masjid al-Aqsa, semalam.

Satu perarakan oleh nasionalis Israel yang dijangka melalui kawasan umat Islam di Kota Lama Baitulmuqaddis Timur dibatalkan dibimbangi mencetuskan kekacauan baharu.

Loading...

Leave a Reply

error: Content is protected !!