Berita Utama

24 pendatang Rohingya dikhuatiri lemas di Langkawi

LANGKAWI – Seramai 24 orang pendatang asing tanpa izin (PATI) etnik Rohingya dikhuatiri lemas di perairan Pulau Langkawi malam tadi selepas nekad terjun beramai-ramai dari bot yang dinaiki.

Pengarah Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Mohd Zawawi Abdullah berkata, Maritime Rescue Sub-Coordinator (MRSC) Langkawi telah menggerakkan sebuah aset Bot Pelindung 2 ke lokasi kejadian sejurus menerima laporan daripada pihak polis pada jam 10.30 malam.

Katanya, berdasarkan maklumat pihak polis, pengadu yang bernama Nor Hossain, 27, yang juga salah seorang PATI telah terjun dari sebuah bot bersama 24 orang yang lain kira-kira jam 8 malam.

“Dalam kejadian terbabit hanya dia yang terselamat selepas berjaya berenang ke daratan. Pihak polis telah menahannya untuk siasatan lanjut,” katanya menerusi suatu kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya, operasi Carilamat pada hari ini diteruskan melibatkan dua buah aset laut dan sebuah aset udara milik Agensi Penyelamat Maritim Malaysia (APMM) iaitu kapal KM Gagah, bot Pelindung 2 dan pesawat AW 139 yang merangkumi sektor carian seluas 109 batu nautika persegi barat perairan Pulau Langkawi.

“Kita telah menyalurkan maklumat kejadian kepada agensi penyelamat yang lain, komuniti nelayan setempat dan pihak berkuasa Thailand juga akan dimaklumkan melalui Maritime Rescue Coordinator Center (MRCC) Putrajaya bagi membantu pencarian mangsa,” katanya.

Tambahnya, komuniti Maritim boleh melaporkan tentang sebarang petunjuk atau penemuan mangsa di laut atau di pesisir pantai kepada pasukan penyelamat menerusi talian 999 ataupun menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Kedah dan Perlis (Langkawi) di talian 04-9662750 / 04-966 5307.

Loading...

Leave a Reply

error: Content is protected !!