Blog Berita Online

Viral

24 tahun menunggu, wanita syukur dikurniakan zuriat pertama

Selepas menanti zuriat selama 24 tahun, seorang wanita yang dikenali sebagai Fazilah hilang kata-kata apabila selamat bersalin bayi perempuan di Hospital Besar Ipoh, Perak pada 5 Jun lalu.

Menerusi laman Facebook, ibu berusia 43 tahun itu memuat naik beberapa keping gambar dengan meluahkan rasa syukur atas kurniaan cahaya mata itu selepas melakukan pelbagai usaha, ikhtiar dan doa.

Menurut Fazilah, tiada pasangan suami isteri yang tidak ingin memperoleh zuriat sebaliknya mereka perlu percaya dengan rezeki masing-masing yang ditetapkan Allah SWT.

Bercerita mengenai anugerah terindah itu, dia percaya terdapat hikmah di sebalik semua ujian tersebut selain menamakan anaknya dengan nama Nur Fasihah Qhadeejah Mohamad.

“Walaupun di usia yang sudah lewat, kegembiraan dalam tangisan penantian yang ditunggu-tunggu akhirnya Allah makbulkan,” katanya.

Posting tersebut mendapat 770 perkongsian dan dihujani ucapan tahniah netizen yang kagum dengan kesabaran Fazilah serta suami selain mendoakan yang terbaik untuk anaknya.

Leave a Reply