Berita Utama

4 sekeluarga maut kereta tembung treler

KUANTAN: Empat sekeluarga, termasuk dua kanak-kanak, maut apabila kereta dinaiki mereka bertembung sebuah treler mengangkut kenderaan di Kilometer 5, Jalan Bentong-Raub, awal pagi tadi.

Dalam nahas kira-kira jam 4.10 pagi itu, pemandu kereta jenis Perodua Myvi terbabit yang juga guru, Marlianna Abdul Muid, 37, dan adiknya seorang kerani, Marlia Abdul Muid, 36, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat tersepit dan mengalami kecederaan parah.

Dua kanak-kanak turut terkorban ialah anak lelaki Marlia, Muhammad Faizz Aryan Mohd Faizuddin, 9, dan anak saudara Marlia, Muhammad Aisy Harraz Aziz, 7, yang disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Wad Kecemasan Hospital Bentong, kira-kira jam 6.30 pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar, berkata hasil siasatan awal mendapati kejadian berlaku ketika kereta berkenaan dalam perjalanan dari arah Kota Bharu menuju ke Banting, Selangor.

“Kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta dipandu Marlianna cuba memotong sebuah kenderaan lain tetapi gagal sebelum bertembung treler dari arah bertentangan.

“Insiden itu menyebabkan keseluruhan bahagian hadapan kereta mangsa remuk, manakala treler pula mengalami kerosakan kecil,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sambil memaklumkan bahawa semua mangsa yang maut berasal dari Banting, Zaiham berkata, pemandu treler juga cedera.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, dan polis meminta saksi kejadian untuk tampil membantu siasatan.

Loading...

Leave a Reply

error: Content is protected !!